
KUALA LUMPUR - Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Komisioner Jeneral Penjara supaya memindahkan anak guamnya dengan segera ke kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam kenyataannya, Shafee & Co juga menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya menarik balik ‘penangguhan sementara’ dengan serta-merta dan melaksanakan perintah Seri Paduka Baginda hari ini.
Menurutnya, pendirian Najib berhubung kesan undang-undang Perintah Pengampunan secara keseluruhannya dan berhubung hukuman beliau adalah kekal terpelihara dan begitu juga segala hak beliau.
“Seri Paduka Baginda bertitah sebarang hujah yang mempertikaikan Perintah Pengampunan adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Baginda justeru kenyataan AGC pada pukul 12.42 tengah hari tadi hendaklah dibaca sebagai keingkaran yang nyata terhadap Titah berkenaan.
“Hanya ada satu cara satu cara untuk AGC menunaikan komitmen itu, iaitu dengan membenarkan Titah dilaksanakan hari ini dan apa jua yang mungkin dipilih oleh AGC untuk dibawa ke mahkamah, AGC tidak boleh terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang sementara itu,’’ katanya.
Menurut kenyataan itu, Perintah Pengampunan merupakan pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 dan kuasa itu milik Baginda semata-mata.
Katanya, tiada mana-mana mahkamah, apatah lagi Peguam Negara (AG), yang berhak membuka semula cara Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa itu setelah Baginda menerima nasihat Lembaga Pengampunan, yang turut disertai secara aktif oleh AG sendiri.
“Perintah mahkamah yang dikeluarkan bagi melaksanakan Perintah Pengampunan, setelah pembayaran denda RM50,000,000 direkodkan, tidak boleh menukar Titah yang jelas itu menjadi sesuatu yang lain, dan tiada apa-apa tafsiran terhadap perintah mahkamah itu yang boleh mengatasi titah tersebut,’’ katanya.
Tambahnya, Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda atau Order of Discharge on Payment of Fine yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 6 November perlu dibaca secara keseluruhannya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Baginda bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
AGC dalam pada itu, menegaskan ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam kenyataannya hari ini, AGC turut menolak gambaran tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.
Sebaliknya, kata AGC, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara berbeza, malah mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.
Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, semalam.
Pembayaran itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – 7 November, 2026
The post Peguam desak Najib dipindahkan segera ke Langgak Duta ‘perintah mahkamah tidak boleh ubah Titah Pengampunan’ appeared first on Scoop.





