PM arah PTPTN bentang cadangan penambahbaikan, tingkat bayaran balik

17 Mar 2025 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi mempertingkatkan kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam, selepas Aidilfitri ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau meneliti isu kadar pembayaran balik PTPTN yang masih rendah dan menyedari kepentingan memastikan kelestarian dana itu, agar generasi akan datang terus mendapat manfaatnya.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), untuk meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.

“Antara isu utama dibincangkan ialah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang kian berkembang pesat,” katanya.

Perdana Menteri turut menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran KPT dan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi serta warga kementerian berkenaan hari ini.

Beliau juga berkesempatan mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk ‘Maqasid al-Quran dan Masyarakat MADANI’, serta solat Zohor berjemaah.

– BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved