
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan petrol dan diesel negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai ini meskipun konflik di Asia Barat serta keadaan ekonomi global memberi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut komited untuk mengekalkan harga minyak RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Jelasnya, hubungan baik Malaysia dengan beberapa negara termasuk Iran membantu memastikan laluan bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz berjalan lancar setakat ini.
“Hubungan baik dengan Iran ini membantu bekalan minyak cukup setakat ini, sampai Julai… Insya-Allah, diesel pun cukup walaupun hari itu ada masalah sedikit diesel tiada, naik sedikit harga kerana kita beli daripada luar yang melalui Selat Hormuz. Insurans naik, tambang kapal pun naik.
“Namun setakat ini, minyak RON95 kekal RM1.99,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian dijadual menghubunginya pada 6 petang ini bagi membincangkan perkembangan semasa susulan konflik yang melanda rantau Asia Barat.
“Hubungan (baik dengan Iran) itu membantu kita. Ketika Iran diserang oleh rejim Zionis Israel, kita lahirkan simpati dan kemudian apabila kita agak susah, kapal minyak kita nak lalu Selat Hormuz.
"Kita (Malaysia) antara yang pertama yang dapat lepas, jadi kapal kita antara terawal lalu Selat Hormuz dan sampai ke Pengerang (Johor),” katanya.
Anwar berkata Malaysia juga bersyukur kerana keadaan bekalan bahan api negara masih terkawal berbanding beberapa negara jiran yang kini berdepan tekanan lebih serius seperti Filipina. - 26 Mei, 2026
The post PM beri jaminan bekalan minyak mencukupi, RON95 kekal RM1.99 seliter appeared first on Scoop.





