
KUALA LUMPUR - Bekalan perrol dan diesel negara dijamin mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai, walaupun dunia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Timur Tengah dan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga masih mampu mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter walaupun berlaku peningkatan kos penghantaran dan insurans akibat konflik tersebut.
“Doakan keselamatan kerana hubungan baik ini membantu memastikan bekalan bahan api mencukupi. Setakat ini, kita jangka hingga Julai dan Ogos, insya-Allah diesel akan mencukupi.
“Setakat yang kita mampu tanggung, bahan api RON95 kekal pada RM1.99. Cuba beritahu negara mana lebih murah daripada Malaysia? Tiada, kecuali Brunei,” katanya ketika berucap di Permatang Pauh.
Menurut beliau, Malaysia kini berada dalam keadaan lebih baik berbanding beberapa negara jiran yang berdepan masalah bekalan bahan api, sehingga ada stesen minyak terpaksa ditutup.
“Di Filipina misalnya, orang ramai beratur di stesen minyak, dan ratusan stesen telah ditutup. Alhamdulillah, kita belum sampai ke tahap itu,” katanya.
Anwar menambah, konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia, susulan kenaikan harga minyak mentah global dan gangguan laluan perdagangan antarabangsa.
Jelasnya, peningkatan kos penghantaran dan insurans kapal turut mempengaruhi harga barang, namun kerajaan sedang berusaha memastikan rakyat tidak terbeban.
“Minyak ada, tetapi kos penghantaran meningkat kerana laluan Selat Hormuz terjejas. Insurans meningkat, tambang kapal juga naik.
“Tetapi setakat yang kita mampu, kita akan kekalkan harga minyak untuk rakyat,” katanya. – Getaran, 26 Mei 2026





