PM dijangka sertai program Quranic Madani di Bukit Bintang esok

LocalPolitics
7 May 2026 • 3:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM dijangka sertai program Quranic Madani di Bukit Bintang esok
Poster penganjuran Quranic Madani: Night Reset – Bersatu Dalam Saf di Bukit Bintang di sini pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir memeriahkan program Quranic Madani: Night Reset – Bersatu Dalam Saf yang diadakan di Bukit Bintang di sini pada Jumaat.

Program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu dijadual berlangsung dari jam 8 hingga 11 malam di Jalan Bukit Bintang, bersebelahan Fahrenheit.

Menurut kenyataan dimuat naik di Facebook MAIWP, program itu akan diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian termasuk solat Isyak berjemaah, solat hajat, bacaan surah Al-Mulk serta tazkirah ringkas.

Turut dijangka hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan selain penampilan khas Nurul Izzah Anwar.

Program pengisian lain antaranya tazkirah agama disampaikan beberapa pendakwah jemputan termasuk Ustaz Farkhan Da'ie, Maulana Khairi dan Ustaz Haris Ismail.

Program itu turut menyaksikan perasmian rasmi Quranic Madani sebelum diakhiri dengan doa penutup dan bersurai pada jam 11 malam.

"Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir. Sila bawa sejadah dan hati yang tenang," menurut kenyataan itu.