PM Gesa PDRM Buat Siasatan Rapi Berhubung Kes Faisal Halim & Adik Zayn Rayyan

14 Jun 2024 • 5:09 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Perdana Menteri Malaysia menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan rapi ke atas kes simbah asid pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami keresahan rakyat berhubung kezaliman terbabit dan akui bahawa dirinya juga begitu prihatin dengan nasib mereka.

“Sekarang riuh rendah mengenai kes penderaan pemain bola sepak, pembunuhan seorang kanak-kanak OKU. Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia.”

“Saya hendak tahu mengapa sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak,” katanya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah dipanggil beliau berhubung perkara tersebut.

“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang dan menghukum terus kata kita melindungi. Apa yang melindungi?”

“Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan. Kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini. Tetapi saya kata cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya kata,” katanya.

Semalam, Faisal Halim yang juga pemain bola sepak Selangor FC membuat kemunculan kali pertama di khalayak ramai selepas lebih sebulan disimbah asid sulfurik pekat pada 5 Mei lalu.

Menerusi sidang akhbar, beliau mahu individu yang melakukan jenayah tersebut dapat diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

Dalam pada itu, kes melibatkan pembunuhan Zayn Rayyan juga mencuri tumpuan negara apabila ibu dan bapanya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.