
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terus menjadi obor perjuangan umat dengan berpegang teguh kepada nilai dakwah, pendidikan dan kemanusiaan sempena ulang tahun ke-55 penubuhannya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, ABIM bukan sekadar sebuah pertubuhan belia Islam, sebaliknya perjuangan mahasiswa dan dakwah yang mempunyai jati diri harakah Islamiah.
“Pada usia 55 tahun ia bukan sekadar hitungan umur, tetapi garisan perjuangan yang ditulis dengan pengorbanan, adab, akhlak dan kepercayaan.
“Suara dakwah bukan sekadar suara di mimbar, tetapi denyut yang menghidupkan umat; menyantuni mustadh’afin, mendidik generasi, mengangkat martabat insan dan menyalakan obor perjuangan di tengah zaman yang sering gelap oleh kekeliruan,” katanya.
Menurut beliau, pada usia ke-55 itu, ABIM diharapkan terus menjadi pohon yang akarnya teguh mencengkam nilai, kukuh menahan badai dan dahannya terus rendang menaungi umat.
“Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-55 ABIM,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PM harap ABIM terus jadi obor perjuangan umat appeared first on Kosmo Digital.

