
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak membezakan kaum dalam pelaksanaan inisiatif bantuan rakyat sebaliknya bantuan disalurkan kepada semua yang layak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, apa yang dilakukan oleh kerajaan dari segi peruntukan jauh lebih besar daripada apa yang pernah dibuat oleh Bersatu dan PAS.
Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana pembangkang boleh menyatakan kerajaan tidak mengambil berat dalam isu peruntukan tersebut.
Beliau juga memberitahu, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk masyarakat India telah mencecah RM1 bilion.
“Bagaimana dia (pembangkang) katakan kita tak ambil berat? Rakan-rakan kita dalam Jemaah Menteri, dan rakan-rakan saya yang lain, selalu bangkitkan. Dan saya kata dalam STR, kita tak sebut STR India, STR Melayu, STR Cina, STR Sarawak. Tak!
“Tapi oleh kerana banyak kritikan, saya tak ada pilihan, saya terpaksa cerakinkan, jelaskan dalam Kabinet. Klau saudara lihat dari dulu, saya tak setuju sangat. Semua nak ikut kaum. Tetapi nampaknya terus kita diserang, seolah tidak buat apa-apa.
“Cadang, kita cadang, kita tegur. Tapi jangan bawa polemik kaum,’’ katanya pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2025 di KL Sentral, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memperuntukkan dana khusus kepada masyarakat India termasuk RM50 juta bagi Amanah Ikhtiar Malaysia dan RM50 juta untuk Tekun Nasional, selain RM1.6 bilion melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan RM600 juta bagi pembiayaan perniagaan masyarakat India.
“Tahun ini dan unjuran untuk Belanjawan 2026, untuk Skim Jaminan Perumahan Kredit Perumahan masyarakat India itu RM1.6 bilion. SJPP, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan untuk India berniaga, RM600 juta. Tapi untuk tahun ini, kita teruskan dengan RM600 juta untuk Skim Jaminan Pembiayaan Masyarakat India bagi peluang anak-anak muda berniaga.
“Saya sebut perkara ini kerana saya bimbang, baca kadang-kadang dalam media, ini tidak jadi polemik. Jadi kalau disebut ‘tak cukup’ tak apa.
“Kalau dikritik, kerajaan harus tambah peruntukan tak apa. Kalau kata Perdana Menteri harus dengar lagi saya setuju. Tapi jangan kata kita tidak buat,’’ katanya.
Anwar juga mahu supaya rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing dan menilai setiap isu terutama yang menyentuh sensitiviti kaum dengan bijak dan rasional. - 18 Oktober, 2025
The post PM ingatkan jangan polemik bantuan ikut kaum appeared first on Scoop.




