PM ke DBKL bincang isu infrastruktur penjaja, peniaga kecil

LocalPolitics
11 Jan 2023 • 6:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (tengah) mengadakan perbincangan dengan Mahadi (kanan) pada Rabu. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah pada Rabu.

Menurut Perdana Menteri, perbincangan bersama Mahadi melibatkan isu penjaja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Tadi mengadakan perbincangan dengan pihak DBKL bersama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) di Kementerian Kewangan.

"Perbincangan itu melibatkan cadangan pembangunan dan naik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," kata Perdana Menteri menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Tambah beliau, penjaja dan peniaga kecil merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara yang perlu diberikan perhatian agar tidak ketinggalan dalam kepesatan pembangunan di ibu negara.