PM Qatar lawat Teheran, lanjutkan usaha pengantaraan

WorldPolitics
27 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PM Qatar lawat Teheran, lanjutkan usaha pengantaraan

DUBAI: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani akan mengadakan lawatan ke Teheran pada Khamis dalam usaha menghidupkan semula rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Kedua-dua negara saling menyalahkan berhubung janji Washington untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran dengan mengenakan sekatan ke atas rakan dagang Iran.

Qatar, yang merupakan negara jiran Iran di Teluk serta sekutu AS, sebelum ini berperanan sebagai perunding saluran belakang bagi pihak yang berperang dan memainkan peranan secara langsung dalam mencapai gencatan senjata pada Jun yang menyaksikan pertempuran dihentikan buat sementara waktu.

Lawatan itu dilakukan ketika perang menghampiri bulan keenam, dengan pertempuran sebahagian besarnya terhenti namun masih tiada tanda-tanda kejayaan diplomatik.

“Sheikh Mohammed akan membincangkan kesinambungan usaha pengantaraan Qatar serta perkembangan lain di rantau itu ketika lawatannya ke Teheran pada Khamis, kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar berkata, Sheikh Mohammed turut akan membincangkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz serta keperluan mengembalikan keadaan kepada status quo sebelum 28 Februari.

Beliau juga akan berbincang dengan pegawai Iran mengenai langkah untuk meredakan ketegangan dan mewujudkan keadaan yang kondusif bagi dialog.

AS dan Iran masih berselisih mengenai kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan sempit yang menjadi titik penting bagi bekalan minyak dunia dan digunakan Teheran sebagai alat tekanan.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Rabu berkata, Iran dan Oman telah mencapai persetujuan mengenai cara mengurus selat itu serta berkongsi hasilnya. Namun, seorang sumber kanan Iran kemudian berkata, kedua-dua negara masih memperincikan perjanjian berkenaan.

“Perjanjian dengan Oman berhubung Selat Hormuz masih belum dimuktamadkan,” kata sumber kanan Iran kepada Reuters, sambil menambah rundingan mengenai butiran perjanjian masih diteruskan.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan jurucakap IRGC, Brigedier Jeneral Hossein Mohebbi, yang berkata Iran dan Oman telah mencapai kesepakatan bersama berhubung kawalan terhadap selat dan hasilnya.

Mohebbi berkata, selat itu akan kekal ditutup sehingga AS memenuhi syarat Teheran di bawah gencatan senjata sementara atau memorandum persefahaman yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Jun sebelum perjanjian itu gagal.

Syarat tersebut termasuk penamatan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran, pemberian pampasan dan penghapusan sekatan.

Iran dan Oman telah mengadakan rundingan secara berselang-seli selama beberapa minggu mengenai kawalan lalu lintas melalui selat berkenaan. Teheran dan Washington masing-masing cuba mengukuhkan kawalan ke atas laluan itu dengan mengenakan sekatan berasingan.

The post PM Qatar lawat Teheran, lanjutkan usaha pengantaraan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved