
TEHERAN: Iran dan Amerika Syarikat (AS) masih bertelagah berhubung usaha mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Teluk secara kekal, menurut seorang sumber kanan Teheran.
Sumber itu berkata, tiada kemajuan dicapai dalam rundingan bagi menghidupkan semula perjanjian sementara yang dicapai pada Jun serta menetapkan tempoh pelaksanaan komitmen di bawah perjanjian tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, sekali lagi mengkritik kepimpinan Iran, sekali gus menjejaskan harapan untuk menyelesaikan krisis berkenaan selepas serangan baharu terhadap perkapalan di rantau itu kelmarin.
Perjanjian yang dicapai pada Jun menetapkan penamatan serta-merta dan kekal operasi ketenteraan di semua medan, namun ia tidak bertahan lama selepas Trump mengisytiharkannya berakhir pada 7 Julai.
Seminggu kemudian, Kementerian Luar Iran pula mengisytiharkan perjanjian itu digantung.
Washington menuduh Teheran gagal memenuhi komitmen untuk membuka semula laluan perkapalan penting di Selat Hormuz di bawah perjanjian berkenaan.
Teheran bagaimanapun mendakwa Washington turut melanggar komitmennya, termasuk menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran dan membebaskan aset Iran yang dibekukan.
“Salah satu isu yang dibincangkan melalui pengantara ialah AS kembali kepada perjanjian sementara itu dan menetapkan tempoh pelaksanaan komitmen. Tiada kemajuan langsung dicapai dalam perkara ini,” kata sumber Iran itu.
Trump pada Rabu mendakwa AS mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi, badan yang ditubuhkan Iran untuk menguruskan laluan perairan itu, berkata Selat Hormuz kekal ditutup dan tidak akan dibuka semula sehingga syarat yang ditetapkan Iran dipenuhi.
“Iran hanya banyak bercakap tanpa tindakan, pembuli Asia Barat itu sudah tidak lagi berkuasa,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Sepanjang konflik berkenaan, Trump berulang kali mengancam untuk meningkatkan tekanan ketenteraan dan mendakwa perjanjian damai bakal dicapai.
Sumber Iran itu turut menolak laporan agensi berita Anadolu pada Rabu yang memetik sumber kerajaan Pakistan sebagai berkata mereka bersetuju melanjutkan tempoh 60 hari berkenaan.
“Tiada perbincangan mengenai lanjutan kerana dari perspektif Iran, tiada tempoh yang pernah bermula dan oleh itu tiada apa yang perlu dilanjutkan.
“Amerika Syarikat melanggar perjanjian sementara itu 48 jam selepas ia dicapai dan menarik diri daripadanya beberapa hari kemudian,” kata sumber itu kepada Reuters.
The post Usaha tamat perang Teluk masih buntu, Iran-AS terus bertelagah appeared first on Utusan Malaysia.



