PM Sembah Maklum Kepada Agong Belanjawan 2023

LocalPolitics
24 Feb 2023 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar (kanan) ketika sesi sembah maklum berhubung pembentangan Belanjawan 2023 kepada Al-Sultan Abdullah semalam. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung pembentangan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan beliau di Parlimen esok.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disembah maklum ketika beliau menghadap baginda di Istana Negara.

“Menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah atas perkenan menerima patik menghadap bagi urusan mesyuarat Pra-Kabinet.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya turut menyembah maklum berhubung Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok. Daulat Tuanku!,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Belanjawan akan dibentangkan Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan itu dinanti ramai, susulan ia adalan bajet pertama di bawah Kerajaan Perpaduan dipimpinnya.

Pada 20 Disember lalu, Ahli Parlimen Tambun itu membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022, berkuat kuasa 1 Januari lalu, bagi perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

Terdahulu pada 7 Oktober tahun lalu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyediakan Bajet 2023, namun tidak sempat dibahas dan diluluskan.

Keadaan itu susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, bagi memberi laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebelum tampuk pentadbiran negara bertukar – Getaran, 24 Februari 2023