KLANG, 27 SEPT: Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Madani sentiasa menjaga kebajikan semua kaum bagi memastikan tiada sesiapa tercicir daripada menerima bantuan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya juga sentiasa memartabatkan Islam, pada masa sama tidak meminggirkan agama lain.

“Semua program Islam dijalankan dengan baik dan peruntukan juga bertambah termasuk semalam meluluskan RM76 juta untuk pelaksanaan projek Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Bukit Jalil.
“Sebagai Perdana Menteri saya perlu menjaga dan martabatkan Islam kerana majoriti beragama Islam selain merupakan agama Persekutuan,” katanya ditemui pada majlis ramah mesra bersama komuniti Westsports dan Pelabuhan Klang di sini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Anwar yang merupakan Menteri Kewangan turut memaklumkan Kerajaan Madani kini sedang ‘mencuci’ semua ketirisan berkaitan rasuah dan penyelewengan.
“Tidak kira siapa dia Tan Sri atau Tun… jika lakukan penyelewengan tangkap, masuk penjara dan dakwa. Saya perlu lakukan untuk menjaga Malaysia supaya terus hebat dan cemerlang.
“Ada mengatakan tindakan diambil kerana dendam walhal ia untuk menghentikannya daripada mengambil kekayaan yang bukan hak,” katanya.
The post PM: Semua kaum terbela, martabat Islam tanpa pinggir agama lain appeared first on Selangorkini.

