
KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan khas Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,500 kepada 111 ketua isi rumah yang terjejas akibat kebakaran di Numbak, di sini.
Sumbangan itu disampaikan ketika Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Damai, bagi meninjau keadaan mangsa yang ditempatkan di pusat berkenaan.
Daripada jumlah RM1,500 itu, RM1,000 disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), manakala RM500 lagi menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Anwar turut menyerahkan bakul makanan sumbangan NADMA kepada mangsa sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi kebakaran berkenaan.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada Perdana Menteri menyantuni mangsa serta mendengar sendiri keperluan mereka sepanjang ditempatkan di PPS.
Sesi lawatan berkenaan diadakan sebelum Anwar bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Dalam kejadian berkaitan, sebanyak 202 rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran di Numbak baru-baru ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi itu turut meragut nyawa tiga kanak-kanak, dengan Jabatan Kebajikan dan Perkhidmatan Am Sabah mengesahkan semua mangsa adalah warganegara Malaysia.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asrul Abdullah, 6; Nana Abdullah, 4; dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8.
Kebakaran membabitkan kawasan rumah setinggan atas air di Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama dengan kawasan terjejas dianggarkan seluas 260 meter x 380 meter. – UTUSAN
The post PM serah sumbangan khas kerajaan kepada 111 keluarga mangsa kebakaran Numbak appeared first on Utusan Malaysia.




