
KUALA LUMPUR - ASEAN perlu memastikan penyelarasan yang lebih padu antara dasar luar dan ekonominya bagi memperkukuh perpaduan serantau dalam persekitaran ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata menteri-menteri luar dan ekonomi ASEAN perlu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran, sambil menekankan bahawa sinergi sedemikian penting bagi menterjemahkan perpaduan ASEAN kepada hasil yang nyata.
Menonjolkan perubahan landskap global, Anwar memberi amaran bahawa alat yang secara tradisinya digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan, termasuk perdagangan dan pelaburan, kini semakin digunakan untuk memberikan tekanan politik dan memecahkan kerjasama global.
"Trend ini bukan masalah untuk sementara waktu, tetapi merupakan cabaran baharu ketika ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di sini pada Rabu.
Anwar berkata kuasa sentiasa mempengaruhi perdagangan, tetapi pada hari ini, kuasa semakin mentakrifkan perdagangan, sambil memetik peningkatan tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan sebagai instrumen persaingan geopolitik.
Dalam keadaan ini, beliau berkata ASEAN mesti berdepan dengan realiti masa kini dengan "kejelasan dan keyakinan," memastikan perpaduan bukan sahaja dizahirkan dalam pengisytiharan tetapi turut tersemat dalam institusi, strategi dan proses membuat keputusan. - BERNAMAa Ada



