PM Singapura zahir penghargaan kepada Malaysia dan Thailand

3 Dec 2025 • 10:06 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan Thailand atas tindakan pantas kedua-dua negara membantu rakyat Singapura yang terkandas di Hat Yai susulan banjir besar yang melanda Asia Tenggara.

Beliau berkata, bantuan segera daripada pihak berkuasa kedua-dua negara itu membolehkan kerajaan Singapura memastikan keselamatan rakyatnya serta membawa mereka pulang dengan selamat.

“Kami amat berterima kasih kepada pihak berkuasa di Thailand dan Malaysia atas bantuan pantas mereka dalam membantu rakyat Singapura yang terkandas di Hat Yai, sehingga memastikan mereka selamat pulang ke tanah air,” ujar Lawrence Wong.

Dalam masa sama, beliau meluahkan rasa sedih dan dukacita terhadap bencana banjir yang memusnahkan komuniti di seluruh rantau ini, sambil menyifatkan imej kerosakan, perpindahan mangsa dan kehilangan nyawa sebagai sesuatu yang amat memilukan.

“Saya berasa amat sedih dengan berita mengenai banjir teruk yang memusnahkan komuniti di seluruh Asia Tenggara. Gambar-gambar mengenai perpindahan mangsa dan kehilangan harta benda amat memilukan,” katanya.

Baca juga:

Wong turut merakamkan penghargaan kepada para penyelamat dan petugas barisan hadapan yang berjuang mengharungi arus deras demi melindungi orang lain.

“Kepada semua yang terjejas, serta para penyelamat yang berani bertarung dengan arus banjir demi menjaga keselamatan orang lain, doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Lawrence Wong menegaskan bahawa Singapura bersiap sedia untuk memberikan sokongan tambahan kepada negara-negara jiran yang terjejas, selaras dengan semangat kerjasama serantau.

Dalam kenyataannya, beliau turut mengingatkan bahawa kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku adalah bukti jelas tentang kerentanan yang dikongsi bersama oleh semua negara.

“Perubahan iklim merupakan cabaran yang tidak mengenal sempadan dan memberi kesan kepada setiap daripada kita. Ia adalah krisis global yang menuntut respons global,” jelasnya.