SHAH ALAM, 20 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG) di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Menerusi perkongsian di laman X, Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan berkenaan atas usaha gigih sehingga mencipta sejarah memenangi kejohanan dunia di Riyadh, Julai lalu.
“Saya zahirkan ucapan tahniah atas usaha gigih pasukan hingga membuahkan kejayaan yang menjadi kebanggaan buat pasukan dan Selangor, serta melambangkan potensi anak muda Malaysia di pentas e-sukan antarabangsa,” tulisnya.
Anwar menambah, pentadbirannya sentiasa menyokong pembangunan industri e-sukan dan menantikan kemunculan lebih banyak pasukan yang mampu bersaing hebat serta meraih pengiktirafan dunia.
“Semoga Malaysia dan SRG dapat melakar sejarah sekali lagi di Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada akhir tahun ini, Insya-Allah,” katanya.

Pertemuan bagi membincangkan peluang membangunkan ekosistem e-sukan dengan sokongan penuh dari Kerajaan Persekutuan turut dihadiri Menteri Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya Adam Adli Abd Halim.
Hadir sama EXCO Sukan Najwan Halimi dan Pengurus SRG Simon Lim.

Julai lalu, SRG menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 di kejohanan Mid Season Cup MLBB.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyifatkan kemenangan pasukan SRG dalam kejohanan MLBB di Arab Saudi sebagai kejayaan luar biasa dan pencapaian bersejarah.

The post PM terima kunjungan Selangor Red Giants, bincang pembangunan e-sukan appeared first on Selangorkini.
