
BANGKOK: Thailand pada Isnin berkata bahawa pihaknya akan menghantar pulang seorang lelaki rakyat Perancis yang melarang pelawat Israel memasuki zoo miliknya di Koh Samui, hanya beberapa hari selepas mengeluarkan arahan serupa terhadap seorang warga Israel yang mengugutnya.
Kevin Dimino, pemilik bersama Samui Exotic Park di pulau peranginan itu, terlibat dalam tingkah laku berbentuk ugutan, gangguan dan keganasan fizikal, menurut arahan yang ditandatangani Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul.
Tingkah lakunya bertentangan dengan ketenteraman awam, moral yang baik dan kepentingan awam, menurut arahan itu.
Arahan itul menambah bahawa beliau telah didenda 5,000 baht (RM615) oleh mahkamah tempatan kerana melanggar undang-undang berkaitan penggunaan jalan raya dan kenderaan.
Kerajaan mengeluarkan arahan serupa pada Jumaat terhadap warga Israel, Yaacov Ohayon, yang menurut pihak berkuasa telah dijatuhi hukuman penjara 15 hari yang ditangguhkan dan didenda 5,000 baht kerana menimbulkan ketakutan atau panik melalui ugutan.
Dimino, yang memiliki zoo itu bersama isterinya yang berbangsa Thai, memberitahu AFP bulan lalu bahawa beliau menggantung bendera Palestin sebagai tindak balas terhadap kelakuan buruk beberapa pelawat Israel, yang menurutnya mencetuskan ugutan dalam talian.
Lelaki Perancis itu kemudian tular selepas satu pertengkaran dengan sebuah keluarga Israel dirakam kamera.
Beliau menerima lebih banyak ugutan, yang dibalasnya dengan kenyataan berbaur antisemitisme secara terbuka.
Beliau memberitahu AFP pada hujung minggu bahawa warga Israel itu telah memulakan pergaduhan tersebut.
Arahan penghantaran pulang itu yang boleh dirayu dalam tempoh tujuh hari dikeluarkan selepas kerajaan minggu lalu menerbitkan peraturan baharu mengenai keadaan yang membolehkan warga asing diusir, susulan peningkatan perhatian terhadap tingkah laku pelancong.
“Kami mahukan pelancong, tetapi apabila mereka datang, mereka perlu menghormati undang-undang kami, rakyat Thailand, adat dan tradisi kami,” kata Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, kepada pemberita pada petang Ahad. – AFP
The post PM Thai arah rakyat Perancis larang warga Israel masuki zoo dihantar pulang appeared first on Utusan Malaysia.





