
BANGKOK: Thailand membatalkan kewarganegaraan seorang lelaki kelahiran Israel, Ariel Blustein pada Khamis lalu.
Ini kerana Kementerian Dalam Negeri negara itu mendakwa lelaki tersebut terus menggunakan kewarganegaraan terdahulunya dan menyembunyikan maklumat mengenai kerakyatan Uruguay yang dimilikinya.
Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul menandatangani perintah pembatalan kewarganegaraan terhadap lelaki warga asing itu.
Pembatalan itu dilaporkan berkuat kuasa serta-merta selepas perintah berkenaan ditandatangani.
Menurut laman berita ThaiRath, Blustein memperoleh kewarganegaraan Thailand melalui proses naturalisasi di bawah Seksyen 10 dan Seksyen 11(1) Akta Kewarganegaraan.
Beliau menerima kad pengenalan kebangsaan Thailand pertamanya pada 14 Jun 2019.
Kementerian Dalam Negeri mendakwa Blustein terus menggunakan pasport Israel selepas memperoleh kewarganegaraan Thailand.
Pada hari beliau menerima kad pengenalan Thailand, beliau dilaporkan melakukan perjalanan ke Hong Kong.
Namun, beliau menggunakan pasport Israel sebelum kembali ke Thailand pada 23 Jun 2019 dengan dokumen yang sama.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa Blustein memiliki kerakyatan Uruguay dan menggunakan kewarganegaraan tersebut untuk melakukan beberapa perjalanan ke luar negara sebelum memohon menjadi warganegara Thailand.
Bagaimanapun, beliau didakwa tidak mendedahkan kewarganegaraan Uruguay kepada pegawai atau menyatakan hasrat untuk melepaskannya sepanjang proses naturalisasi.
Kementerian itu menjadikan dakwaan penggunaan berterusan kewarganegaraan terdahulunya dan pemberian maklumat palsu atau penyembunyian fakta penting mengenai kewarganegaraan lain sebagai alasan untuk membatalkan kewarganegaraan Thailandnya.- AGENSI
The post PM Thai lucut kewarganegaraan lelaki kelahiran Israel appeared first on Utusan Malaysia.




