
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah membatalkan lawatannya ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Malaysia susulan kemangkatan Permaisuri Sirikit, menurut jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat, pada Sabtu.
Kabinet dijadualkan bermesyuarat pada pagi Sabtu bagi membincangkan persiapan upacara pengebumian.
Anutin dijadualkan membuat lawatan ke Malaysia pada Sabtu, namun ia dibatalkan.
Bagaimanapun, portal The Nation Thailand yang memetik sumber memberitahu, Anutin akan menghadiri Sidang Kemuncak itu pada 26 Oktober bagi menandatangani perjanjian damai Thailand-Kemboja, dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menjadi pemerhati.
"Majlis menandatangani perjanjian itu akan dijadualkan semula daripada sesi petang ke sesi pagi. Namun, jika pihak Amerika Syarikat tidak dapat menyesuaikan masa, Perdana Menteri akan mewakilkan tugas tersebut kepada Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow, untuk menandatangani bagi pihak beliau,'' lapor portal berkenaan.
Sirikit, 93, yang merupakan bonda Raja Vajiralongkorn, meninggal dunia pada 9.21 malam, Jumaat (24 Oktober) di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn, di bawah jagaan Persatuan Palang Merah Thailand.
Sekumpulan pakar perubatan telah memantau dan merawat kesihatan baginda sejak 7 September 2019.
Pemeriksaan mendapati baginda menghidap beberapa penyakit dan masalah kesihatan yang menjejaskan pelbagai sistem organ, sekali gus memerlukan rawatan berterusan.
“Menurut pasukan perubatan, baginda mengalami jangkitan dalam aliran darah pada 17 Okt. Walaupun semua usaha perubatan telah dilakukan, keadaan kesihatan baginda semakin merosot dan mangkat dengan tenang pada 9.21 malam Jumaat pada usia 93 tahun,” menurut kenyataan Pejabat Diraja pada Sabtu.
Anakandanya, Raja Vajiralongkorn telah menitahkan Pejabat Diraja agar menguruskan upacara pengebumian diraja dengan penghormatan tertinggi mengikut adat istiadat diraja.
Jasad baginda akan disemayamkan di Balairung Seri Dusit Maha Prasat di Istana Diraja Bangkok.
Raja Vajiralongkorn turut menitahkan tempoh berkabung selama setahun bagi kerabat diraja dan pegawai istana, bermula dari tarikh kemangkatan. - 25 Oktober, 2025
The post PM Thailand batal lawatan ke Sidang Kemuncak Asean susulan kematian bekas Ratu Thailand appeared first on Scoop.


