PM UK diminta tekan Trump tamat perang Iran

WorldPolitics
8 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PM UK diminta tekan Trump tamat perang Iran

LONDON: Sepuluh kesatuan sekerja di United Kingdom (UK) menggesa Perdana Menteri Andy Burnham mengambil tindakan menangani krisis kos sara hidup dengan memberi tekanan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya segera menamatkan konflik di Asia Barat.

Pemimpin kesatuan yang me­wakili lebih 2.3 juta pekerja, termasuk Unison yang merupakan kesatuan terbesar di UK, menggesa Burnham menentang sebarang peningkatan konflik di rantau Teluk bagi membantu menurunkan kos tenaga dan bahan api.

Mereka turut menggesa Burnham menarik balik kebenaran kepada tentera AS menggunakan pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) di Britain untuk melancarkan serangan udara terhadap Iran.

Gesaan itu dibuat selepas Setiausaha Luar UK, Ed Miliband tiba di Washington minggu ini bagi mengadakan pertemuan pertamanya dengan pegawai pentadbiran Trump sejak dilantik memegang jawatan itu bulan lalu.

Miliband dijangka membincangkan krisis di Asia Barat bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang minggu ini berkata, terdapat kemajuan dalam rundingan dengan Iran dan Oman bagi membolehkan lebih banyak kapal melalui Selat Hormuz.

Namun, belum ada persetujuan muktamad dicapai.

Trump pula berikrar memberi Iran peluang terakhir selepas serangan pengeboman hebat oleh kedua-dua pihak minggu lalu mencetuskan semula ketidaktentuan mengenai hala tuju perang dan prospek harga minyak serta gas dunia.

Dalam surat kepada Burnham, pemimpin 10 kesatuan se­kerja itu berkata, kerajaan Britain perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menentang perang yang memusnahkan dan menyalahi undang-undang dilancarkan AS bersama Israel terhadap Iran.

Menurut mereka, perang itu memburukkan lagi krisis kos sara hidup dihadapi ahli kesatuan dan rakyat Britain.

“Sejak perang bermula, purata bil tenaga tahunan isi rumah di Britain meningkat sebanyak £221 (RM1,215), manakala perbelanjaan makanan bulanan dijangka bertambah £32.80 (RM180). Tanpa penamatan perang, tiada penghujung kepada krisis kos sara hidup ini,” menurut surat itu.

Mereka berkata, pihaknya mengalu-alukan tumpuan kerajaan baharu terhadap isu kos sara hidup dan langkah yang diambil bagi menjadikan kos kehidupan lebih mampu ditanggung.

Bagaimanapun, mereka me­lahirkan kebimbangan kerana kerajaan didakwa membenarkan serangan udara AS dilancarkan dari pangkalan di wilayah Britain sebagai sebahagian daripada konflik yang semakin memuncak dengan Iran.

Antara yang menandatangani surat itu ialah Setiausaha Agung Unison, Andrea Egan; Setia­usaha Agung Kesatuan Pendidikan Kebangsaan, Daniel Kebede dan Setiausaha Agung Kesatuan Kolej dan Universiti, Jo Grady. 

Turut serta ialah wakil Kesatuan Briged Bomba, Kesatuan Pelakon Kesaksamaan dan Ke­satuan Pekerja Komunikasi.

Menurut mereka, Burnham bertindak pantas memberi kebenaran kepada AS menggunakan Pangkalan Tentera Udara Diraja di Gloucestershire dan pangkalan di Diego Garcia di Lautan Hindi, yang kini menjadi semakin penting kepada Washington berikutan serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera AS di Asia Barat.

“UK mempunyai peranan penting dalam usaha meredakan konflik kerana AS bergantung kepada pangkalannya di wilayah Britain untuk melancarkan pe­rang. Ini memandangkan pangkalan itu mampu mengendalikan pesawat pengebom strategik dan berada dalam lingkungan operasi ke Iran,” kata mereka. – AGENSI

 

The post PM UK diminta tekan Trump tamat perang Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved