KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan diberikan tanpa mengira sama ada perayaan itu jatuh pada Jumaat atau Sabtu.
Beliau berkata, cuti tambahan tersebut akan diberikan pada Isnin sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Jumaat, manakala jika perayaan itu disambut pada Sabtu, cuti tambahan akan diberikan pada Jumaat.
"Raya dah nak dekat, saya turun-turun (sampai) tadi sudah ada orang tanya cuti, bila PMX bagi cuti?
"Dalam tradisi kita, kita tahu akan sampai akhirnya Hari Raya, Jumaat atau Sabtu. Ini lihat dulu baru diumum, hari Jumaat malam sama ada Hari Jumaat atau hari Sabtu (tarikh hari raya). Tapi jangan bimbang kerana kita berikan cuti tambahan Hari Raya, kita beri cuti kerana kita anggap semua orang dah kerja kuat.
"Bulan Ramadan ini, semua extra time, extra dedication, extra effort. So we will reward you dengan tambahan cuti. Kalau yang tak extra effort, you still have a few days, please do more to deserve the holidays.
"Jadi kalau cuti, kalau Hari Raya hari Jumaat (20 Mac), maka cuti tambahan pada Isnin (23 Mac). Kalau Hari Raya Sabtu (21 Mac), cuti tambahan hari Jumaat (20 Mac)," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pengumuman tersebut dibuat lebih awal bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan sempena sambutan perayaan itu.
"Kita umum awal supaya kita boleh buat perancangan. Nak cuti hari Jumaat atau cuti Isnin? Siapa yang nak cuti hari Isnin, doa supaya hari raya lagi Sabtu," katanya sambil berseloroh.
