
KUALA SELANGOR, 9 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai tambahan khas sebanyak RM2,500 kepada mangsa banjir di negeri ini.
Beliau berkata, bantuan tambahan itu akan mula dibayar kepada mangsa banjir bermula esok.
“Sudah beberapa hari mereka di sini dan kemungkinan keadaan pun cuaca dan juga air pasang. Ada keluarga itu dah lama, jadi selalunya bantuan RM1,000 dia rasa tak cukup, kerosakan lebih.
“Maka saya umumkan penambahan bagi di Selangor bagi yang terkesan agak panjang dan kerosakan yang banyak, RM2,500 untuk satu keluarga. Yang negeri itu, negeri uruskan biasa,” katanya.
Ditemui ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas termasuk sukarelawan dan perubatan.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengiringi Perdana Menteri memaklumkan bantuan banjir hanya dikoordinasi oleh pejabat tanah dan daerah sahaja.
“DO (Pegawai Daerah) kita akan uruskan. Kita akan coordinate satu kaunter saja dengan pejabat negeri untuk uruskan,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 154 mangsa banjir daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Mahang susulan kediaman mereka dinaiki air berikutan fenomena Monsur Timur Laut.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).






