PM Zahir Rasa Kagum, Bangga Dengan Keberanian Filem Sheriff

13 Jun 2024 • 10:33 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kagum, bangga dan terkesan dengan filem Sheriff Narko Integriti yang ditonton beliau di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, malam tadi.

Menerusi akaun Facebook miliknya, beliau memaklumkan filem itu sarat dengan mesej mendalam mengenai peranan agensi penguatkuasa dalam negara dan pada masa sama, memuji penerbitan filem Melayu yang semakin maju serta kreatif.

“Cerita ini papar kelemahan dalam suatu pasukan tapi juga ada kekuatannya dalam Malaysia (penguatkuasa) iaitu tidak kurang orang yang sangat mempertahan integriti serta menolak kecurangan seperti gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” tulisnya.

image is not available

Foto: FB Anwar Ibrahim

Beliau berkata, filem arahan Syafiq Yusof itu turut membuka lebih banyak ruang kepada kerajaan dan kementerian untuk menyemarakkan industri perfileman negara.

“Kalau inilah prestasi yang kita capai pada masa depan, dunia perfileman Melayu itu sangat cerah.

“Pihak kerajaan dan agensi terkait akan beri kerjasama untuk memungkinkan kreativiti serta menyemarakkan penyuburan seni seterusnya memungkinkan daya cipta dan kreatif,” katanya lagi.

image is not available

Foto: FB Anwar Ibrahim

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa mana-mana pihak yang belum menonton Sheriff Narko Integriti agar berbuat demikian dengan mengambil kira keupayaan filem itu yang membanggakan.

Terdahulu, Anwar bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa kira-kira dua jam setengah menonton filem berkenaan.

image is not available

Foto: FB Anwar Ibrahim

Turut dilihat hadir bersama, pelakon Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Aaron Aziz serta Elizabeth Tan dan penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim yang turut mengetengahkan bakatnya menerusi filem tersebut.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim