PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat

21 Oct 2025 • 3:56 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat
Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat aset dan demonstrasi ketenteraan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara selain pelbagai pengisian menarik pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, bermula dari 17 hingga 19 Oktober 2025. Foto oleh MINDEF.

MELAKA 19 Oktober – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka menutup tirai siri jelajah nasional kali ke-8 tahun ini dengan menampilkan kekuatan konsep pertahanan menyeluruh menjamin kedaulatan negara selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Program tiga hari yang berlangsung di Politeknik Merlimau, Melaka bermula 17 hingga 19 Oktober 2025 menjadi platform utama kerajaan mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat melalui pendekatan inklusif dan bersepadu merentasi semua lapisan masyarakat.

Penganjuran PMR 2025 Melaka diterajui oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertindak sebagai sekretariat induk.

Image from: PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat
Foto oleh MINDEF

Ia merupakan kesinambungan inisiatif nasional bagi mengukuhkan penyampaian perkhidmatan awam secara langsung di lapangan, dengan memberi penekanan kepada nilai kecekapan, keterangkuman dan tanggungjawab sosial sekali gus menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) untuk memperkasakan jentera kerajaan agar lebih mesra dan responsif kepada keperluan rakyat.

Dengan tema “Aspirasi MADANI: Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program ini menonjolkan peranan MINDEF dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara di samping memperkukuh kefahaman rakyat terhadap konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WoGoS) menjadi teras utama pelaksanaan program melalui penglibatan bersama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut mendukung konsep Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau kerjasama awam-tentera.

Lebih 150 perkhidmatan touch point kerajaan Persekutuan dan negeri disediakan sepanjang program termasuk pameran, khidmat kaunter agensi, peluang pekerjaan serta aktiviti komuniti.

Pavilion MINDEF menjadi tarikan utama dengan penyertaan 11 jabatan dan agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan lain-lain.

Image from: PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat
Foto oleh MINDEF

Pelbagai program turut ditampilkan seperti pameran aset ATM dan demonstrasi keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara.

Antara pengisian menarik termasuk pertunjukan payung terjun, demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS), persembahan Kawad Senyap TLDM dan drumline TUDM serta pertunjukan udara dari pesawat pejuang Hawk TUDM.

PMR 2025 Melaka beroperasi dari jam 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, bagi memberi ruang kepada lebih ramai pengunjung menikmati pengisian program dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Penganjuran PMR 2025 Melaka tidak terhad di tapak utama sahaja di mana orang ramai di sekitar Melaka turut mendapat manfaat langsung menerusi “Program Satelit” yang memberi fokus kepada aktiviti kemasyarakatan dengan mengadaptasi pendekatan CIMIC.

Program-program tersebut meliputi kerja-kerja baik pulih dan pembinaan struktur baharu bangunan, program kerohanian dan keagamaan, gotong-royong pembersihan kawasan, program kesihatan dan pengagihan makanan kesihatan dan ubat-ubatan, program kerjaya dan kesukarelawan, program perpaduan, keselamatan dan IT serta pemberian petrol percuma.

Image from: PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat
Foto oleh MINDEF

Selama tiga hari penganjurannya, seramai 268,327 orang pengunjung membanjiri lokasi utama bagi mendapatkan akses kepada lebih 100 perkhidmatan kerajaan bermula dengan 73,130 orang pada hari pertama, diikuti 102,129 hari kedua dan 93,068 pengunjung pada hari penutup.

Perkhidmatan ditawarkan termasuk bantuan pekerjaan, pendidikan, kesihatan, keusahawanan serta pelbagai khidmat komuniti menjadikannya penyertaan paling ramai sepanjang penganjuran PMR tahun ini.

Secara keseluruhannya, PMR 2025 Melaka menjadi wadah terbaik memperlihatkan kesatuan antara kerajaan, pasukan keselamatan dan rakyat dalam memupuk semangat patriotik, memperkukuh daya tahan nasional serta mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju Malaysia MADANI.

Majlis Perasmian Penutup PMR 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah sekadar medan penyampaian dasar kerajaan, malah menjadi wadah memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pelbagai perkhidmatan, peluang ekonomi dan kesedaran pertahanan.

Image from: PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat
Foto oleh MINDEF

Ketua Setiausaha (KSU) MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, berkata tema PMR kali ini amat penting untuk menekankan bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan hanya terletak pada pasukan keselamatan, tetapi perlu dipikul bersama oleh seluruh rakyat.

“Jadi bagi tema kita untuk PMR kali ini adalah Aspirasi MADANI: Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara. Kita rasakan sangat penting adalah berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan ini perlulah datang daripada semua pihak dan bukannya sahaja bergantung kepada pihak keselamatan atau pertahanan semata-mata.

“Dalam pavilion ini, pengisiannya adalah menjurus kepada berkongsi dengan masyarakat bahawa di dalam tentera sendiri, dalam perkhidmatan tentera sama ada laut, darat mahupun udara, juga terdapat pelbagai profesion yang profesional," katanya.

Tambahnya, MINDEF turut melaksanakan lima program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat dan komuniti terpilih sebagai usaha memperkukuh khidmat kepada rakyat.

"Kementerian turut menerima tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta tahun ini berbanding RM10 juta tahun lalu bagi pelaksanaan program CSR di seluruh negara, selain tambahan RM600 juta dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Ini sekali gus mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan MINDEF dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Kesimpulannya, PMR 2025 Melaka sebagai Penutup siri program MADANI Rakyat tahun ini, menjadi medan menggilap semangat patriotik serta mengangkat nilai perpaduan sebagai benteng utama negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berpaksikan kesejahteraan dan keselamatan bersama.

Image from: PMR 2025 Melaka Tonjol Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan Rakyat
Foto oleh MINDEF