PMX AI Akan Diperkenalkan Sebagai Kembar AI Agentik Perdana Menteri Malaysia

LocalTechnology
10 Jul 2026 • 4:16 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah memperkenalkan kembar digital beliau yang dinamakan PMX AI, iaitu sebuah avatar digital yang hadir dengan fungsi AI agentik yang boleh menjawab pelbagai persoalan rakyat Malaysia berkenaan isu hal ehwal semasa dan memberi nasihat kepada soalan-soalan berkaitan perundangan negara.

PMX AI dibangunkan oleh syarikat pembangun perkhidmatan digital dan kecerdasan buatan tempatan, Zetrix AI melalui inisiatif parti politik Parti Keadilan Rakyat. Menurut Zetrix AI, avatar PMX AI ini dilatih menggunakan penulisan dan juga rekod polisi yang telah diluluskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang pemerintahannya.

Image from: PMX AI Akan Diperkenalkan Sebagai Kembar AI Agentik Perdana Menteri Malaysia
Gambar janaan AI.

Malah, ia dilaporkan bahawa PMX AI akan mempersembahkan kandungan dan jawapan kepada pelbagai soalan dalam lenggok bahasa beliau sendiri. Seperti yang sedia maklum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai gaya percakapan dan berbahas yang dilihat unik, dan aspek ini akan diperlihatkan melalui PMX AI. Dalam pada itu, avatar ini juga boleh memahami Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan pelbagai dialek percakapan yang lazim digunakan di seluruh Malaysia.

Image from: PMX AI Akan Diperkenalkan Sebagai Kembar AI Agentik Perdana Menteri Malaysia

Pengarah Urusan TS Wong mengatakan bahawa PMX AI juga akan sentiasa dikemaskini dengan teks ucapan dan komentar Perdana Menteri supaya ia sentiasa mengetahui semua perkembangan yang juga telah diumumkan dan dibahaskan oleh beliau. Wong memanggil kemaskini maklumat ini sebagai “personal knowledge model” ataupun model pengetahuan peribadi dan ini memastikan bahawa PMX AI sentiasa boleh menjawab pelbagai persoalan rakyat dengan maklumat yang terkini.

Sebagai sebuah AI agentik, PMX AI juga dilaporkan kelak akan hadir dengan ciri-ciri seperti memperbaharui dokumen-dokumen kerajaan seperti MyKad, pasport dan juga lesen memandu dari permulaan proses pembaharuan sehinggalah proses pembayaran, menjadikannya juga sebagai sebuah platform perkhidmatan kerajaan yang mudah diakses.

Menurut laporan Bloomberg, pihak Pejabat Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa avatar PMX AI akan diperkenalkan dalam masa beberapa hari lagi, dimana sebuah video pelancaran juga akan memperlihatkan ciri-ciri dan kebolehan model AI tersebut.

Sumber: Bloomberg

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved