LENGGONG – Penduduk di sekitar Lenggong merayu agar perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik dikembalikan segera selepas ia ditamatkan sejak 1 April lalu yang menjejaskan kehidupan harian pelbagai lapisan masyarakat.
Tinjauan Sinar Harian di Terminal Bas Lenggong mendapati rata-rata pengguna terutama warga emas dan golongan berpendapatan rendah kini berdepan kesukaran untuk bergerak khususnya bagi urusan mendapatkan rawatan, bekerja dan ke sekolah.
Pengguna, Siti Zawyah Syed Wok, 66, berkata, ketiadaan bas memaksanya mencari alternatif lain yang lebih mahal untuk mendapatkan rawatan jantung di hospital.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya perlu menukar dua bas untuk ke Ipoh dengan kos yang rendah, namun kini terpaksa bergantung kepada ihsan orang lain atau menyewa kenderaan.
"Kalau nak sewa kereta, kos boleh cecah RM100. Itu belum termasuk makan minum. Saya pula ibu tunggal, memang terbeban.
"Kalau ada bas walaupun satu trip pagi dan satu petang pun sudah memadai. Kami orang kampung ini bukan semua ada kenderaan," katanya.
Seorang lagi pengguna, Anizah Mohamad, 62, berkata, penamatan perkhidmatan itu turut menjejaskan punca pendapatannya sebagai peniaga ikan masin di Pasar Awam Lenggong.
**media[3479379]**
Menurutnya, sebelum ini dia bergantung sepenuhnya kepada bas untuk berulang-alik sejauh kira-kira 10 kilometer dari rumahnya di Kampung Kota Tampan.
"Dulu tiap-tiap hari naik bas pergi berniaga. Tambang pun murah, hanya 80 sen pergi dan balik untuk warga emas.
"Sekarang bas dah tak ada, memang terjejas. Nak harap keluarga, mereka pun bekerja. Saya pula tak pandai memandu," katanya.
Sementara itu, pesara, S Siva, 60, berkata, perkhidmatan bas tersebut amat penting bukan sahaja kepada penduduk malah pelajar dan pekerja yang bergantung kepada pengangkutan awam.
Katanya, ketiadaan bas memberi kesan besar kepada pergerakan harian termasuk ke tempat kerja, sekolah serta urusan harian lain.
"Penduduk berhak memohon kepada kerajaan negeri Perak supaya dapat memujuk operator perkhidmatan bas ini menyediakan semula perkhidmatan ini demi kesejahteraan rakyat.
"Selain itu, Lenggong dan Gerik juga merupakan kawasan pelancongan yang terkenal. Ketiadaan bas menjejaskan akses pelancong ke lokasi bersejarah di sini," katanya.
Pandangan sama disuarakan pemandu pelancong, Ng Hock Seng, 66, yang menyifatkan pengangkutan awam sebagai elemen penting dalam menarik kehadiran pelancong ke Lenggong.
Menurutnya, ramai pelancong dari luar negara sebelum ini menggunakan bas untuk ke kawasan itu, namun kini berdepan kesukaran apabila perkhidmatan dihentikan.
"Pelancong boleh sampai ke Kuala Kangsar, tetapi untuk ke Lenggong jadi masalah.
Kalau tiada pengangkutan, macam mana nak tarik pelancong datang?" katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lenggong, Abdul Harani Harun berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung isu tersebut.
Katanya, antara yang paling terkesan ialah pelajar sekolah, terutama mereka yang tinggal jauh dari kawasan bandar.
"Di Lenggong ada beberapa sekolah menengah dan ramai pelajar bergantung kepada bas untuk ke sekolah. Bila tiada perkhidmatan ini, urusan mereka terganggu.
"Kita akan bawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi termasuk melalui penghulu bagi mencari penyelesaian terbaik," katanya.
Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berwajib dapat campur tangan segera bagi memastikan perkhidmatan bas di kawasan berkenaan dapat diteruskan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

