
Kebelakangan ini, terdapat banyak yang sedang diperkatakan berkenaan pelan kerajaan untuk mengembangkan industri pusat data di Malaysia, dimana kerisauan hadir tentang jumlah penggunaan tenaga elektrik dan juga bekalan air yang banyak.
Di Johor, telah berlaku tunjuk perasaan tentang pembangunan sebuah pusat data di Gelang Patah kerana dikatakan sedang menyebabkan pencemaran udara melalui debu yang beterbangan secara keterlaluan. Hari ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah menjawab satu persoalan di sidang Parlimen tentang langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia tidak terbeban dengan perkembangan sektor tersebut.

Beliau menjawab bahawa ia adalah benar bahawa penggunaan sumber-sumber tersebut akan menjadi satu masalah besar sekiranya tidak dikawal. Oleh kerana ini, kerajaan telah bertindak untuk menyekat pembangunan pusat data baru yang tidak menggunakan teknologi AI terbaru, ataupun menambahkan sebarang kemampuan teknologi moden di Malaysia.
Ini bermakna bahawa untuk dua tahun akan datang, cadangan untuk membuka pusat data baru di Malaysia hanya akan dilayan sekiranya ia berkaitan penggunaan teknologi AI, ataupun ia menggunakan teknologi serba-baru yang boleh meningkatkan daya saing Malaysia dalam arena teknologi.
Dalam pada itu, bercakap mengenai penggunaan tenaga elektrik, pusat-pusat data di Malaysia akan dikuasakan menggunakan ASEAN Power Grid yang menguasakan sejumlah besar pusat data di Asia Tenggara, dari Vietnam sehinggalah ke Singapura.
