PN akan bincang kedudukan Bersatu dua minggu lagi - Takiyuddin

LocalPolitics
5 Sep 2026 • 5:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN akan bincang kedudukan Bersatu dua minggu lagi - Takiyuddin
Takiyuddin (duduk depan dari kanan) bersama pimpinan selepas penutupan Muktamar Tahunan Pas ke-72 di sini pada Sabtu.

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua minggu lagi bagi membincangkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau diarahkan Pengerusi PN untuk mengeluarkan notis mesyuarat pada bulan ini dan pertemuan itu dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan parti komponen PN selain persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serta perkembangan politik di Sarawak.

“Kami akan bincang macam-macam isu termasuk bagi menghadapi PRU16 dan PRN Melaka.

“Bersatu juga salah satunya, kami nak lihat kedudukan parti-parti anggota dalam PN ini dan mungkin ada parti-parti baharu yang nak menyertai PN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penutupan Muktamar Tahunan Pas ke-72 di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, mesyuarat itu turut akan meneliti kedudukan parti-parti komponen PN sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Bersatu yang masih belum diputuskan, beliau berkata, keputusan mengenainya akan dibuat dalam mesyuarat berkenaan.

“Lebih baik lambat daripada tidak langsung, kita akan putuskan perkara itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, agenda Penyatuan Ummah yang diluluskan pada Muktamar Pas kali ini bukan hanya tertumpu di Semenanjung, sebaliknya akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, perundingan itu bukan sahaja membabitkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut melibatkan kerusi Parlimen sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang gabungan berkenaan.

“Perundingan mengenai Penyatuan Ummah sudah tentulah melibatkan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ketika ditanya sama ada usaha itu turut melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata, kedua-dua gabungan itu termasuk dalam perancangan tersebut.

“Sudah semestinya kerana di Sarawak ada GPS di Sabah ada GRS dan juga UMNO,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved