PN-BN dijangka luaskan kerjasama hadapi PRU16

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 10:46 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PN-BN dijangka luaskan kerjasama hadapi PRU16

PETALING JAYA: Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dijangka meliputi seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) meskipun perkara itu belum dimuktamadkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jangkaan itu mengambil kira kejayaan kedua-dua gabungan bekerjasama di peringkat negeri.

Katanya, usul penyatuan ummah yang diterima dalam muktamar Pas turut mencerminkan sokongan akar umbi parti terhadap kerjasama tersebut.

“Kerjasama itu dijangka meliputi seluruh negara dalam menghadapi PRU akan datang walaupun ianya belum dimuktamad lagi. Kejayaan kerjasama yang ditunjukkan di Negeri Sembilan, Johor dan insya-Allah di Melaka akan memperkukuhkan lagi andaian tersebut.

“Keputusan usul penyatuan ummah yang diterima sebulat suara dalam muktamar Pas jelas memperlihatkan dukungan akar umbi terhadap kerjasama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kepimpinan PN pernah membincangkan kemungkinan bekerjasama dengan BN di Perak menjelang PRU16.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mungkin bertemu di Melaka, namun belum ada pengesahan mengenai pertemuan yang dikaitkan dengan hala tuju hubungan BN dan PN di Perak itu.

Di Perak, BN membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15 dengan kedua-dua gabungan menguasai 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memenangi 26 kerusi.

Di Negeri Sembilan pula, BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga selepas BN memenangi 18 kerusi dan PN tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Bagi PRN Melaka, akhbar ini pada 21 Oktober lalu melaporkan hasil rundingan antara BN dan Pas memperuntukkan 21 daripada 28 kerusi DUN kepada BN, manakala baki tujuh kerusi untuk Pas dan rakan gabungannya.

BN dan PN kemudian bersetuju menyerahkan dua daripada tujuh kerusi itu kepada MCA berdasarkan peluang kemenangan, menjadikan jumlah kerusi yang ditandingi BN sebanyak 23 dan PN lima pada hari penamaan calon, 31 Oktober lalu.

Seramai 79 calon bertanding merebut 28 kerusi DUN Melaka dengan pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini. – UTUSAN

The post PN-BN dijangka luaskan kerjasama hadapi PRU16 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved