Berbaki kira-kira 47 jam sebelum pengundian Sabtu ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yakin perkembangan politik di Putrajaya memberi kelebihan kepada gabungan itu untuk terus mentadbir negeri berkenaan.

Menurutnya, isu yang timbul sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh membantu BN meraih kepercayaan pengundi.
“Ya, saya melihat peluang BN amat besar.
“Dalam berlaku sedikit kecelaruan politik di Putrajaya, dengan isu-isu semasa yang tidak sepatutnya berlaku dalam tempoh pilihan raya ini, memberikan kelebihan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional untuk menerajui Melaka,” katanya selepas ceramah kempen DUN Tanjung Bidara di Bidara Palma malam tadi.
Ketika ditanya sama ada BN mampu mengatasi pencapaiannya pada PRN 2021, iaitu 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Ab Rauf meminta semua pihak menunggu keputusan pengundian.
“Itu kita tunggu dulu. Insya-Allah,” katanya.
Ab Rauf, yang juga calon BN bagi DUN Tanjung Bidara, berkata gerak kerja jentera gabungan itu di Bidara Palma mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.
“Saya melihat PDM (Pusat Daerah Mengundi) kawasan Bidara Palma ini cukup bersedia menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung dua hari lagi.
“Semua orang akan bersama-sama untuk memastikan bahawa geng biru akan dapat kembali semula sebagai ADUN di Tanjung Bidara ini,” tambahnya lagi.
Kemenangan di 21 kerusi pada 2021 membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Pada PRN kali ini, BN menjalin kerjasama strategik dengan Perikatan Nasional (PN), dengan BN bertanding di 23 kerusi dan PN di lima kerusi.
Sumber: Berita Harian (Muhamaad Razis Ismail dan Ridhwan Rusydi Azri Roslan)





