
KUALA LUMPUR: Pembangkang meminta sidang khas Dewan Rakyat mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) ditangguhkan ke satu tarikh yang baharu susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas faktor kesihatan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, beliau sudah menghantar surat ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam dengan antara alasan yang dinyatakan adalah kerana faktor kesihatan kepimpinan utama kerajaan.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Memandangkan isu TH amat signifikan serta mempunyai kepentingan awam yang tinggi, adalah wajar sekiranya pembentangan dan perbahasan laporan ini dapat dihadiri dan dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri sebaik sahaja beliau kembali bertugas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Whip PN itu berkata, persidangan khas hari ini juga hanya penerangan menteri, bukan untuk dibahas dan diundi.
“Jadi tidak penting sangat dipercepatkan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, beliau mempersoal mengapa laporan RCI TH tidak embargo dan hanya diletakkan di atas mejas ahli Parlimen pada hari ini sahaja.
“Ia tidak jadi embargo kerana Perdana Menteri sendiri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berceramah mengenai laporan ini di Port Dickson.
“Sedangkan kami difahamkan, Kabinet memutuskan laporan RCI TH dibentangkan di Parlimen dahulu, baharu dibentangkan di luar. Mengapa Perdana Menteri sendiri telah membentangkan ia dengan cara itu? Dalam masa PRN Negeri Sembilan. Ini bermotifkan politik.
“Jadi mahu atau tidak, Perdana Menteri mesti berada di dalam dewan ini untuk mendengar dan memberi respon, malah menggulung,” katanya.-UTUSAN
The post PN minta Sidang Khas RCI TH ke tarikh lain appeared first on Utusan Malaysia.





