PN Perlu Beri Cadangan Alternatif, Bukan Kritik Semberono Menu Rahmah

Politics
17 Feb 2023 • 6:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menu Rahmah dilancarkan pada 31 Januari lalu dan merupakan usaha untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membidas kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko penyakit autisme dan kanser.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya mempertikai secara semberono perkara itu tanpa mengemukakan inisiatif lebih baik yang boleh dilaksanakan kerajaan.

Menurut beliau, pembangkang sewajarnya memberikan cadangan alternatif makanan mampu milik kepada rakyat sekiranya Menu Rahmah yang dilancarkan kerajaan perpaduan didakwa memberi risiko kepada kesihatan. 

image is not available
Muhammad Faisal Abdul Aziz

“Wakil rakyat PN yang ditampilkan dalam Kabinet bayangan kepada Jemaah Menteri kerajaan perpaduan perlu berperanan memberikan alternatif serta menjuarai isu rakyat secara ilmiah.

“Ini adalah fungsi dan peranan Kabinet bayangan jika PN ingin membuktikan mereka bersedia menjadi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Dr Halimah berkata, penyediaan makanan yang berharga rendah tidak sepatutnya dilaksanakan sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan hanya mendapat hidangan bermutu rendah.

Beliau melahirkan kebimbangan dengan isu keterjaminan makanan yang terdesak sekarang dan mendakwa perkara itu membingungkan kerajaan.

image is not available
Dr Halimah Ali - Gambar dari Facebook Dr Halimah Ali

Dr Halimah berkata, beliau tidak mahu rakyat khususnya golongan B40 diberikan bekalan makanan kualiti rendah dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit, khususnya kanser dan autisme. 

Sehubungan itu, Muhammad Faisal berkata, ABIM terkilan dengan ucapan Ahli Parlimen Kapar tersebut yang mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko penyakit autisme dan kanser.

“Perkara itu amat mendukacitakan kerana seseorang Ahli Parlimen perlu mengemukakan penyelesaian yang boleh menambah baik kehidupan rakyat.

“Beliau tidak seharusnya memperlekeh sebarang inisiatif baik yang mendapat perhatian rakyat seperti Menu Rahmah dengan sentimen untuk mendapatkan populariti politik semata-mata,” katanya. 

image is not available
Pasar raya Mydin antara yang melaksanakan inisiatif Menu Rahmah.

Pada 31 Januari lalu, inisiatif Menu Rahmah dilancarkan dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Melalui inisiatif tersebut, pelanggan boleh membeli makanan pada harga RM5 dan ke bawah, terdiri daripada nasi, ayam, atau ikan, dan sayur-sayuran dengan air kosong.

Bagaimanapun, Menu Rahmah tidak melibatkan sebarang dana kerajaan berikutan pemain industri makanan dan minuman menyertainya secara sukarela. - Getaran, 17 Februari 2023