PN putuskan ambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu – Takiyuddin

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 11:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN putuskan ambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu – Takiyuddin
Takiyuddin pada sidang media selepas Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung Pas pada malam Ahad.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk memulakan prosiding tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan tindakan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada malam Ahad.

Katanya, tindakan itu dibuat berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memberikan kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti anggota yang bertindak bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada malam ini telah membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan tatatertib terhadap satu parti anggota kita, iaitu Bersatu.

“Dalam Fasal 15 yang bertajuk tatatertib, Majlis Tertinggi PN mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti anggota, ahli bergabung dan ahli bersekutu dengan memberikan amaran, menggantung atau memecat mana-mana pihak yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan PN,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini.

Takiyuddin menjelaskan bahawa PN akan mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur tatatertib, termasuk menyediakan pertuduhan terhadap Bersatu sebelum memberikan tempoh yang munasabah kepada parti itu untuk mengemukakan jawapan.

Menurutnya, pertuduhan berkenaan masih dalam proses penyediaan dan gabungan itu akan memperincikan beberapa tindakan yang didakwa bercanggah dengan kepentingan PN.

“Pertuduhan yang akan dibuat akan dirangka oleh PN terhadap parti anggota ini, iaitu Bersatu, dan mereka sudah tentulah akan diberikan tempoh yang mencukupi untuk menjawab.

“Banyak lagi perkara yang akan kita tampilkan, tetapi pokoknya, kita akan memulakan prosiding tatatertib terhadap Bersatu. Ini keputusan kita malam ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata antara perkara yang dibangkitkan ialah tindakan Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM atau RoS) berhubung keputusan PN untuk tidak menjemput wakil parti itu menghadiri mesyuarat pada 16 Julai lalu.

Tambah beliau, keputusan untuk tidak menjemput Bersatu ketika itu dibuat susulan isu dalaman parti berkenaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesahihan keputusan mesyuarat PN.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan sama pernah digunakan terhadap Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada Januari lalu apabila parti itu berdepan masalah dalaman. Bagaimanapun, perkara berkenaan diselesaikan tanpa aduan kepada RoS.

“Jadi, kita minta Bersatu menyelesaikan masalah dalaman mereka terlebih dahulu. Sementara itu, kita tidak akan menjemput mereka menghadiri mesyuarat.

“Tetapi MIPP tidak pernah membuat aduan kepada RoS. Mereka menyelesaikan masalah dalaman dan selepas itu kembali menghadiri mesyuarat seperti biasa,” jelasnya.

Takiyuddin turut membangkitkan tindakan parti anggota yang bertanding menentang calon PN sebagai antara contoh perbuatan yang boleh dianggap bercanggah dengan kepentingan gabungan berkenaan.

Menurutnya, walaupun Perlembagaan PN membenarkan parti anggota menggunakan lambang masing-masing dalam pilihan raya, perkara itu tertakluk kepada kebenaran gabungan tersebut.

“Kalau dia masih lagi parti anggota, bertanding menggunakan logo sendiri sebenarnya dibenarkan dalam perlembagaan dengan kebenaran. Tetapi kalau dia bertanding menentang PN, itu sudah bercanggah,” tegasnya.

Beliau berkata bentuk hukuman terhadap Bersatu hanya akan ditentukan berdasarkan tahap keseriusan pertuduhan selepas proses tatatertib dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin memaklumkan bahawa keempat-empat wakil Bersatu dalam Majlis Tertinggi PN tidak menghadiri mesyuarat tergempar itu walaupun jemputan telah dihantar kepada semua 26 ahli.

Katanya, empat wakil berkenaan ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pemangku Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; dan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.

Bagaimanapun, katanya, hanya Muhyiddin memaklumkan ketidakhadirannya melalui mesej WhatsApp kira-kira jam 6 petang, manakala tiga wakil lain tidak memberikan sebarang makluman.

“Semua dipanggil dan mesyuarat kita sepatutnya diadakan pada jam 8.30 malam. Namun, kita lewatkan sehingga kira-kira jam 9.10 malam untuk menunggu kehadiran semua ahli yang dijemput. Jadi, semua yang lain hadir kecuali empat orang wakil daripada Bersatu,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved