PN guna logo sendiri pada PRN Melaka - Takiyuddin

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 11:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN guna logo sendiri pada PRN Melaka - Takiyuddin
Takiyuddin (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung Pas pada malam Ahad.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan perintah Mahkamah Tinggi yang menangguhkan pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap pendaftarannya.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung Pas di sini, malam Ahad.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan PN yang boleh kembali beroperasi seperti biasa berikutan perintah mahkamah berkenaan.

"Oleh kerana PN 'is back', kita memutuskan untuk menggunakan logo PN pada PRN Melaka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air, Rafique Rashid.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi dan calon yang akan bertanding, Takiyuddin menjelaskan proses pengagihan kerusi membabitkan parti-parti komponen PN masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Beliau turut memaklumkan pengumuman calon PN bagi PRN Melaka dijadualkan pada 29 Oktober ini.

"Calon dan kerusi akan ditentukan kerana kita akan mengadakan beberapa siri mesyuarat untuk memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi serta calon yang akan diletakkan.

"Apa yang pasti, pengisytiharan calon akan dibuat pada 29 Oktober di Melaka dan semuanya akan diselesaikan sebelum tarikh itu," katanya.

Takiyuddin berkata, PN juga terbuka sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Melaka,

Menurutnya, Fasal 16 Perlembagaan PN membenarkan anggota gabungan menggunakan lambang dan bendera parti masing-masing sekiranya difikirkan perlu, tertakluk kepada kebenaran yang diperoleh dalam mesyuarat PN.

"Kalau difikirkan perlu, di bawah lambang dan bendera ini jelas dengan kebenaran. Minta kebenaran dalam mesyuarat PN," katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved