PN sedia laksanakan harga lantai padi RM3,000 jika bentuk kerajaan

LocalPolitics
3 May 2026 • 5:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN sedia laksanakan harga lantai padi RM3,000 jika bentuk kerajaan
Takiyuddin (enam dari kiri) bersama para pesawah pada Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi di Alor Setar pada Ahad.
Image from: PN sedia laksanakan harga lantai padi RM3,000 jika bentuk kerajaan
Pesawah berhimpun di Kampung Alor Setoi di Alor Setar bagi menyatakan keluhan mereka tentang masalah yang dihadapi pada Ahad.

ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) bersedia menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah serta memperkukuh sektor agromakanan negara.

Menurutnya, kadar semasa sekitar RM1,500 per tan metrik dilihat tidak lagi mencukupi dan kenaikan kepada RM3,000 adalah munasabah bagi menjamin kelangsungan hidup pesawah.

“RM3,000 itu kita boleh bagi akujanji dalam manifesto PRU nanti dan insya-ALLAH akan dilaksanakan. Harga lantai yang lebih stabil mampu meningkatkan produktiviti penanaman padi,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi di sini pada Ahad.

**media[3509508]**

Beliau berkata, penetapan harga yang lebih kompetitif itu juga selari dengan tuntutan dikemukakan golongan pesawah yang mahukan margin keuntungan lebih baik dalam menghadapi peningkatan kos operasi.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob dilaporkan menuntut harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 per tan metrik bagi memastikan kebajikan pesawah terus terjamin.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pengalaman PN mentadbir negara sebelum ini membuktikan gabungan itu berkeupayaan melaksanakan dasar pro-rakyat termasuk membantu sektor pertanian.

Katanya, sepanjang tempoh pentadbiran pada 2020 dan 2021, kerajaan PN menyalurkan kira-kira RM530 bilion melalui pelbagai pakej rangsangan bagi menyokong rakyat ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Oleh itu kita yakin tiada alasan untuk kerajaan hari ini yang menyatakan bahawa tak ada duit untuk memberikan subsidi diesel kepada rakyat terutamanya kepada petani yang jentera guna diesel dan memerlukan bantuan kerajaan. Kalau tak tolong buat apa jadi kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan PN akan terus membawa suara rakyat termasuk golongan pesawah melalui siri himpunan aman yang dirancang di beberapa lokasi termasuk di ibu negara.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan isu kebajikan petani terus diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkepentingan.