Poco C65, telefon murah dengan storan besar 256GB dari RM519 sahaja

Digital
6 Nov 2023 • 1:23 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Poco datang lagi dengan telefon murah. Kali ini, Poco C65 telah dilancar dan mula dijual di Malaysia pada harga di bawah RM600. Lebih menarik, ia menawarkan storan yang sangat besar untuk harganya.

Untuk memberikan storan 256GB pada harga di bawah RM600, pasti ada yang perlu dikorbankan. Walaupun kuasa CPU nampak agak tinggi, ia dikurangkan pada bahagian skrin dan kamera.

Harga dan Promosi Jualan Awal

Poco Malaysia mengumumkan bahawa Poco C65 telah mula dijual hari ini, 6 November 2023. Terdapat dua varian diperkenal untuk pasaran Malaysia dengan harga rasmi berikut:

  • Poco C65 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM499
  • Poco C65 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM599

image is not available

Ini boleh dikatakan sebagai peranti dengan storan 256GB paling murah boleh dibeli di Malaysia. Lebih murah daripada tawaran Infinix seperti Hot 30 dan Note 30.

Harga Poco C65 akan menjadi lebih menarik jika anda membelinya sekarang. Dari 6-15 November 2023, pembeli C65 boleh mendapat diskaun RM50 untuk mana-mana varian. Tetapi varian 128GB ditawarkan di Lazada, manakala varian 256GB hanya ada di Shopee.

Harga promosi 10 hari Poco C65 selepas diskaun adalah seperti berikut:

  • Poco C65 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM499 RM449
  • Poco C65 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM599 RM549

Semakan di Lazada dan Shopee pula menunjukkan, dengan mengumpul baucar tertentu, Poco C65 boleh dibeli dari serendah RM414 (128GB) dan RM519 (256GB). Pastinya ini untuk masa terhad, cepat dapatkannya sekarang jika anda mencari sebuah telefon yang sangat murah tetapi besar storan.

Spesifikasi Poco C65

Untuk harga di bawah RM500 bersama storan 128GB, kuasa Mediatek Helio G85 di dalam Poco C65 masih agak bagus. Ia disandarkan kepada RAM LPDDR4X sehingga 8GB tetapi bersama storan eMMC 5.1 sehingga 256GB. Kad mikroSD turut diterima, sehingga 1TB.

image is not available

Sebagai telefon murah, sudah pasti ia hanya menggunakan skrin LCD. Ia berukuran 6.74-inci dengan kadar penyegaran 90Hz, tetapi resolusi HD 720p sahaja. Kecerahannya setinggi 450 nits dan boleh mencecah puncak setinggi 600 nits.

Hanya ada dua kamera di belakang iaitu kamera utama 50MP F1.8 dan kamera makro 2MP. ADa kelihatan lensa ketiga tetapi ia dikatakan kamera auxiliary, biasanya merujuk kepada kamera bantuan untuk bokeh atau potret. Kamera hadapan pula 8 MP F2.0, terletak di dalam takuk kecil di atas skrin.

image is not available

Kapasiti bateri agak biasa iaitu 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 18W, menerusi sambungan USB-C. Tetapi dimaklumkan, Poco memberi pengecas 10W di dalam kotak. Kalau mahu kuasa 18W, perlu membeli pengecas lain.

Pengimbas capjari ada di sisi, bergabung di dalam butang kuasa. Speaker pula hanya mono yang menembak ke bawah, tetapi ia masih ada jek audio 3.5mm.

image is not available

Poco C65 menyokong NFC, serta rangkaian 4G sahaja, tiada 5G. Ia juga dilengkapi Bluetooth 5.1 dan WiFi AC, tanpa sokongan WiFi 6. Sistem operasi MIUI 14 for Poco digunakan sebagai penggerak sistem utama di telefon ini.

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Poco C65 iaitu Hitam, Biru dan Ungu. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Poco C65.

image is not available

Bacaan Berkaitan