Xiaomi mengesahkan tarikh pelancaran telefon terbaru mereka Poco F7 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Jun 2025. Pengumuman ini dibuat melalui saluran media sosial rasmi Poco dengan pelancaran serentak di India dan pasaran global.

Poco F7 merupakan model asas dalam siri terbaharu selepas Poco F7 Pro dan Poco F7 Ultra yang telah dilancarkan pada bulan Mac lalu. Telefon ini dipasarkan sebagai peranti berprestasi tinggi dalam segmen pertengahan premium bagi meneruskan tradisi siri F yang terkenal dengan keupayaan hebat pada harga yang kompetitif.
Menariknya, peranti dikatakan mempunyai rekaan dan spesifikasi yang hampir menyerupai Redmi Turbo 4 Pro sebelum ini. Namun, terdapat perbezaan ketara pada aspek kapasiti bateri di mana versi global Poco F7 dijangka hadir dengan bateri 6,500 mAh sedikit lebih kecil berbanding bateri sebesar 7,550 mAh yang digunakan pada versi India dan Redmi Turbo 4 Pro.

Imbas kembali, kedua-dua model Poco F7 Pro dan Poco F7 Ultra telah pun ditawarkan secara rasmi di pasaran Malaysia dengan harga yang kompetitif. Untuk model Poco F7 Pro, dua pilihan ditawarkan dengan harga bermula RM2,299 (12/256GB) dan RM2,499 (12/512GB). Sementara itu, model Poco F7 Ultra yang hadir dengan spesifikasi lebih premium ditawarkan pada harga RM2,999 (12/256GB) dan RM3,299 (16/512GB).

Poco F7 Pro hadir dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 manakala model F7 Ultra dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite. Kedua-duanya menyokong paparan AMOLED 120Hz, sistem kamera beresolusi tinggi berserta teknologi pengecasan pantas 120W. Gabungan ciri-ciri ini menjadikan siri Poco F7 antara telefon pintar berkuasa dan berbaloi dalam kategorinya setakat ini.



