
ANTARA kenyataan paling berani yang terkandung dalam ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 ialah politik Melayu tidak boleh diterangkan semata-mata melalui formula prestasi kerajaan.
Beliau mengakui pengundi sangat mementingkan sara hidup, rasuah dan pengagihan kekayaan tetapi beliau pada masa sama berhujah politik identiti masih mempunyai tarikan yang kuat.
Malah beliau menyatakan prestasi kepimpinan, dasar dan perkhidmatan boleh menjadi ‘perhitungan kedua’ apabila pengundi merasakan kepentingan Melayu dan Islam sedang terlibat.
Dakwaan ini besar tetapi beberapa kajian empirikal memberikan sokongan kepada asas hujah tersebut dengan satu peringatan penting iaitu poket dan identiti tidak semestinya saling bertentangan. Seseorang boleh sangat bimbang tentang ekonomi dan pada masa sama mengundi melalui lensa identiti.
Kajian paling komprehensif mengenai hal ini oleh Datuk Dr. Marzuki Mohamad dan Ibrahim Suffian, “Malaysia’s 15th General Election: Ethnicity Remains the Key Factor in Voter Preferences”, ISEAS Perspective No. 20/2023, diterbitkan pada 24 Mac 2023.
Kajian mereka bukan berdasarkan satu tinjauan sahaja. Ia menggabungkan lima siri tinjauan nasional Merdeka Center dari 2020 hingga 2022, tinjauan harian sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan keputusan pilihan raya sebenar. Antara tinjauan terperinci di Semenanjung melibatkan 5,050 responden, dijalankan dari 29 Mac hingga 21 Mei 2022.
Dapatan ketika itu menunjukkan 44 peratus responden Melayu memilih Barisan Nasional (BN) sebagai pilihan politik, 20 peratus Perikatan Nasional (PN) dan hanya 6 peratus Pakatan Harapan (PH) sementara 30 peratus tidak mendedahkan pilihan.
Sebaliknya, dalam kalangan bukan Melayu, PH mendapat 49 peratus, BN (22 peratus) dan PN hanya (3 peratus).
Menariknya, isu nombor satu bukannya kaum. Kajian Mei 2022 mendapati 74 peratus punca ketidakpuasan terhadap kerajaan berpunca daripada kebimbangan ekonomi sementara isu paling penting ialah inflasi (31 peratus), ketidakstabilan politik (13 peratus) dan rasuah (12 peratus).
Bagaimanapun, apabila pilihan parti dianalisis, pola etnik masih amat kuat. Para penyelidik akhirnya menganggarkan sekitar 57 peratus pengundi Melayu memilih PN dalam PRU15 manakala lebih 80 peratus pengundi bukan Melayu memilih PH.
Marzuki dan Ibrahim merumuskan ekonomi, tadbir urus dan kestabilan tetap penting tetapi etnisiti kekal sebagai faktor asas yang mendasari pilihan politik manakala faktor lain banyak menentukan persaingan antara parti yang merebut komuniti etnik yang sama.
Satu lagi analisis oleh Dr. Ong Kian Ming di Institut Yusof Ishak (ISEAS), menggunakan keputusan peringkat saluran mengundi dan regresi mudah untuk menganggarkan pola mengikut umur dan etnik, menghasilkan anggaran sokongan Melayu PRU15 sekitar 53 peratus PN, BN (33 peratus) dan PH (11 peratus).
Kian Ming turut mendapati sokongan PN meningkat apabila bergerak daripada saluran Melayu lebih tua kepada yang lebih muda sementara BN mengalami penurunan ketara khususnya dalam kelompok umur 20-an.
Angka ini merupakan anggaran daripada data agregat saluran mengundi, bukannya tinjauan individu.
Bukti paling menarik kepada hujah Mohamad mengenai perbezaan antara prestasi dengan pilihan undi datang daripada Ilham Centre dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu 2024.
Ilham Centre menjalankan kajian bersemuka menggunakan persampelan rawak berstrata terhadap 404 pengundi berdaftar, mewakili kaum, jantina, umur dan lokaliti. Dapatannya sangat menarik.
Dalam kalangan responden Melayu, tahap kepuasan terhadap Kerajaan Selangor ialah 74 peratus, terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (70.8 peratus) dan terhadap prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong (63 peratus).
Namun begitu, majoriti pengundi Melayu yang dikaji masih memperlihatkan kecenderungan kepada PN, yang Ilham Centre kaitkan dengan sentimen ‘ethnoreligious’ dan persepsi PN mempunyai identiti Melayu-Islam yang lebih kuat. Pada masa sama, 57 peratus responden menyatakan kos sara hidup sebagai isu utama.
Ini hampir merupakan eksperimen semula jadi terhadap tesis Mohamad, iaitu seseorang pengundi boleh memberikan markah yang tinggi kepada prestasi kerajaan tetapi belum tentu memberikan undinya kepada kerajaan itu.
Namun kes Kuala Kubu Bharu ialah kajian satu kawasan, maka tidak boleh digeneralisasikan kepada semua Melayu Malaysia. Nilainya ialah sebagai kajian kes yang menunjukkan prestasi dan pilihan undi memang boleh bergerak secara berasingan.
Dimensi generasi muda pula diterangkan dengan baik oleh Dr. Syaza Shukri dalam Why Young Malay Voters in Malaysia Are “Turning Green”, ISEAS Trends in Southeast Asia 2024/12.
Ini kajian kualitatif, bukannya tinjauan nasional. Syaza menjalankan lima perbincangan fokus berkumpulan melibatkan 35 pengundi Melayu berumur 18 hingga 26 tahun daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Mereka terdiri daripada 15 lelaki dan 20 wanita, berlatarbelakangkan sains sosial; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pengajian Islam serta berasal dari semua negeri kecuali Perlis. Perbincangan fokus berkumpulan ini berlangsung dari 17 November 2023 hingga 4 April 2024.
Dapatannya menunjukkan sebahagian pengundi muda Melayu mengakui ekonomi lemah sebagai masalah penting tetapi pada masa sama memberikan penekanan tinggi kepada pemimpin Muslim yang mereka percaya akan mempertahankan kepentingan Islam.
Syaza turut mendapati keluarga memainkan peranan besar dalam sosialisasi politik manakala responden mengakui media sosial khususnya TikTok sangat mempengaruhi rakan sebaya mereka.
Semua ini tidak bermaksud ekonomi tidak penting. Kajian Merdeka Center yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April 2026 terhadap 1,209 pengundi berdaftar, melalui temu bual telefon menggunakan persampelan rawak berstrata mendapati 73 peratus rakyat menamakan ekonomi sebagai masalah terbesar.
Komposisi sampelnya ialah 51 peratus Melayu, 27 peratus Cina, 8 peratus India serta masing-masing 7 peratus bumiputera Muslim dan bukan Muslim Sabah-Sarawak. Hanya 42 peratus mengatakan negara bergerak ke arah yang betul dalam kalangan Melayu, angka itu 39 peratus.
Justeru, tafsiran paling tepat terhadap ucapan Mohamad bukanlah “orang Melayu tidak peduli prestasi”. Data tidak menyokong kesimpulan sesederhana itu. Sebaliknya, orang Melayu boleh mengundi dengan poket dan identiti secara serentak.
Kos sara hidup mempengaruhi tahap kepuasan. Rasuah mempengaruhi kepercayaan. Prestasi mempengaruhi penilaian kerajaan. Bagaimanapun, agama, bangsa dan rasa keterikatan turut mempengaruhi parti mana yang dianggap paling selamat mewakili kepentingan mereka.
Mohamad sendiri akhirnya mengakui kompleksiti itu apabila menyebut “identiti dan kepentingan material adalah seiringan” bagi generasi muda. Lebih penting, beliau tidak menjadikan politik identiti alasan untuk ekstremisme.
TIADA PILIHAN
Beliau menegaskan UMNO mesti kekal sentris dan sederhana serta memastikan politik Melayu tidak menjadi ancaman kepada bukan Melayu atau rakyat Sabah dan Sarawak.
Di sinilah hujah beliau menjadi lebih matang, di mana cabaran politik Melayu bukanlah untuk memilih antara identiti atau prestasi tetapi untuk mengurus kedua-duanya dalam sebuah negara majmuk.
Identiti memberikan rasa keterikatan. Prestasi memberikan legitimasi. Ekonomi menentukan kesejahteraan. Kesederhanaan pula menentukan sama ada sebuah parti Melayu boleh diterima sebagai parti pemerintah nasional.
Dalam politik Melayu, poket mungkin menentukan keresahan manakala identiti pula sering menentukan arah undi. Cabaran UMNO, seperti yang ditegaskan Mohamad dalam ucapannya, ialah memastikan UMNO mampu meyakinkan pengundi bahawa parti itu memahami kedua-duanya sekali. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Felo Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (Boriis), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
The post Poket, identiti penentu undi Melayu appeared first on Utusan Malaysia.




