Pokok Besar Tumbang Hempap Kenderaan & Landasan Monorel, Seorang Dilapor Meninggal Dunia

7 May 2024 • 4:47 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Berlaku kejadian sebatang pokok besar dilaporkan tumbang di Jalan Sultan Ismail berhadapan Hotel Concorde, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang tadi.

Beberapa rakaman video dan gambar mengenai kejadian terbabit turut tular di laman media sosial dan kejadian itu telah mengakibatkan kesesakan teruk di lokasi berkenaan.

Ketika ini pasukan renjer, bomba, polis dan warden trafik berada di lokasi untuk operasi menyelamat, lapor Kosmo!

Menurut kenyataan Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Kuala Lumpur, PgKB I M. Fatta M. Amin, terdapat sekurang-kurangnya 17 buah kenderaan yang terlibat dan landasan monorel di sebelah atas telah dihalang dengan dahan-dahan pokok.

Insiden tersebut turut melibatkan kerosakan fasiliti awam iaitu perhentian bas di tepi jalan.

Pihaknya melaporkan, seorang lelaki tempatan dilaporkan maut dan seorang lagi cedera dalam insiden itu.

“Terdapat dua orang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota, mangsa pertama seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia.

“Mangsa kedua lelaki tempatan, 26, mengalami kecederaan telah diserahkan kepada pihak paramedik,” katanya.

Sementara itu, dilaporkan juga perkhidmatan monorel mengalami kelewatan antara stesen Bukit Nenas dan Raja Chulan.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.