Pokok Tumbang Hempap 4WD, 4 Termasuk Kanak-Kanak 5 Tahun Maut

3 Aug 2026 • 5:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pokok Tumbang Hempap 4WD, 4 Termasuk Kanak-Kanak 5 Tahun Maut

KUALA LUMPUR - Empat termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Janda Baik, Bentong tengah hari tadi.

Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan dari Bentong menuju ke Janda Baik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.05 petang.

Menurut beliau, lima mangsa berada di dalam kenderaan berkenaan ketika kejadian, terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa serta dua kanak-kanak.

“Empat mangsa, iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak, didapati tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi kanak-kanak yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital,” katanya hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi memotong bahagian kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang masih tersepit.

Pemandu lelaki berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Tiga lagi mangsa ialah seorang wanita berusia 36 tahun di tempat duduk hadapan penumpang bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai berada di pangkuannya.

Seorang lagi lelaki berusia 40 tahun yang duduk di bahagian belakang kenderaan turut disahkan maut.

Sehingga kini, identiti keempat-empat mangsa yang maut masih belum dikenal pasti. - Getaran, 3 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved