
Teknologi televisyen gulung kini muncul sebagai salah satu daripada inovasi digital dalam dunia paparan moden yang mengubah menyepadukan peranti hiburan ke dalam reka bentuk kediaman.
Berbeza dengan skrin rata yang kaku dan kekal, televisyen gulung menggunakan panel paparan organik yang boleh dibengkokkan, digulung atau ditarik keluar seperti kertas nipis tanpa menjejaskan kualiti imej yang tajam (sharp) dan terang.
Bukan sekadar kemajuan teknikal semata-mata tetapi satu anjakan paradigma yang menjadikan skrin bukan lagi sekadar peranti elektronik, sebaliknya sebahagian daripada elemen seni bina dan hiasan dalaman yang harmoni.
Televisyen gulung memberikan dimensi baharu kepada konsep kediaman masa kini yang mementingkan ruang fleksibel, kemas dan berwajah minimalis.
Menurut Ketua Reka Bentuk Industri Foster Partners, Mike Holland, teknologi skrin boleh gulung atau OLED (Diod Pemancar Cahaya Organik) memberi kebebasan dalam mereka bentuk ruang.
“Televisyen moden kini wujud di hampir setiap ruang kediaman dan saiz skrin yang semakin besar sering kali mendominasi sesebuah bilik walaupun ketika tidak digunakan.
“Kehadiran televisyen skrin besar yang statik boleh mengehadkan kreativiti hiasan dalaman dan dianggap satu rekaan biasa di alam moden ini,” katanya memetik portal Hotel Designs.
Peralihan teknologi memperlihatkan fokus utama televisyen sebelum ini tertumpu sepenuhnya kepada fungsi dalaman dan kualiti paparan, sehinggalah rupa luarannya sering kali terabai.
Hasilnya, selama beberapa dekad, televisyen di rumah tidak lebih daripada sekadar kotak plastik atau kaca hitam yang kaku dan selalunya menjadi benda asing yang merosakkan keharmonian susun atur ruang tamu.
Berbeza bagi Holland dengan latar belakang sebagai pereka bentuk industri dalam firma arkitek, televisyen gulung bukan sahaja menjadi simbol teknologi tetapi menggambarkan gaya hidup moden masa kini.
Firma Holland yang turut pernah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat elektronik LG Electronics menerusi projek khusus telah membangunkan dan melancarkan siri televisyen gulung komersial pertama iaitu LG Signature OLED TV R.
Bagi Holland, televisyen gulung tidak lagi kelihatan seperti alat elektronik yang merosakkan pemandangan ruang tamu terutama apabila skrinnya boleh digulung masuk ke pangkalan (base) aluminium membuat ia kelihatan seperti sebuah kabinet atau perabot mewah yang minimalis.
Menyatu dengan ruang kediaman, projek kerjasama itu memastikan reka bentuk luaran televisyen menggunakan bahan premium seperti aluminium gred tinggi dan fabrik bulu bebiri tulen daripada jenama Kvadrat.
Fabrik bulu bebiri digunakan khas sebagai penutup pembesar suara yang terletak di bahagian hadapan kotak pangkalan.
Memberi kebebasan dekorasi kediaman, inovasi itu membolehkan teknologi tidak lagi perlu diletakkan rapat atau digantung pada dinding kerana reka bentuknya kelihatan seperti perabot bebas sekali gus membolehkan ia diletakkan di mana-mana sahaja.
Berbeza dengan televisyen LED atau LCD konvensional yang menggunakan lapisan lampu latar, televisyen boleh gulung memanfaatkan teknologi OLED yang membolehkan setiap piksel pada skrin menghasilkan cahayanya sendiri tanpa memerlukan sumber cahaya tambahan di bahagian belakang panel.
Ketiadaan lampu latar bukan sahaja menghasilkan paparan yang lebih nipis, malah memberikan fleksibiliti yang diperlukan untuk menghasilkan skrin yang boleh dilentur.
Panel OLED boleh dibuat sehingga hanya sekitar tiga milimeter tebal, menjadikannya cukup nipis untuk digulung dan disimpan di dalam ruang yang jauh lebih kecil.
Bagi menghasilkan skrin fleksibel, pengeluar seperti LG Display menggunakan bahan polimer khas yang dikenali sebagai polyimide sebagai substrat.
Berbanding kaca, bahan ini lebih fleksibel, tahan haba dan mampu mengekalkan struktur panel apabila dibengkokkan.
Ketahanan terhadap lenturan berulang juga menjadi aspek penting kerana skrin perlu melalui proses menggulung dan membuka semula setiap kali televisyen digunakan.
Sistem mekanikal di bahagian belakang televisyen pula bertindak sebagai tulang belakang untuk memastikan skrin dapat dinaikkan secara tegak dan kekal stabil.
Sokongan yang terdiri daripada interlocking slats atau bilah-bilah bersegmen saling mengunci ketika skrin digulung masuk ke dalam pangkalan.
Bilah berkenaan bergerak mengikut lengkungan gulungan dan menjadi lebih longgar supaya dapat mengikuti bentuk silinder pada mekanisme putaran.
Apabila skrin dinaikkan, bilah-bilah itu saling mengunci untuk membentuk struktur sokongan sekali gus membantu memberikan kekuatan kepada panel OLED supaya berdiri tegak dan menghasilkan permukaan paparan yang rata.
Selain struktur sokongan, pergerakan ‘naik dan turun’ skrin turut bergantung pada sistem mekanikal bermotor yang tersembunyi di dalam kotak pangkalan televisyen.
The post Polimer jadikan TV boleh gulung appeared first on Kosmo Digital.

