Polis akan mohon sambung reman Namewee esok

LocalPolitics
9 Nov 2025 • 4:28 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis akan memohon lanjutan perintah reman ke atas penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee, atau lebih dikenali sebagai Namewee, bagi membantu siasatan lanjut berhubung kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan di sebuah hotel di sini bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, lanjutan berkenaan akan dibuat esok sebaik tempoh reman selama enam hari berakhir, lapor Harian Metro.

Pada 5 November lalu, Namewee menafikan dia melarikan diri dan muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis dan memberi keterangan berhubung kematian Hsieh Yun Hsin yang ditemukan mati di dalam bilik air hotel pada 22 Oktober lepas.

Malah dalam perkongsiannya di Facebook pada malam itu, Namewee, 42, menjelaskan bahawa dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilapor berkata kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati pemuzik terbabit merupakan individu terakhir bersama mangsa dan dianggap penting dalam membantu siasatan.

Mayat Hsieh sebelum ini dilaporkan ditemukan oleh pemuzik berkenaan di dalam tab mandi pada 1.40 tengah hari, 22 Oktober lepas sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Dalam siasatan sama, pemuzik itu turut ditahan kerana memiliki dan menggunakan dadah selepas polis menemukan sembilan pil berwarna biru disyaki ekstasi seberat 5.12 gram dalam billk hotel itu.

Dia kemudian didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu.

Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian wanita berusia 33 tahun itu. - 9 November, 2025

The post Polis akan mohon sambung reman Namewee esok appeared first on Scoop.