
SHAH ALAM, 26 JUN: Polis bakal menggunakan kit ujian air liur di lokasi sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sintetik seperti ‘piu piu’ dan ‘magic mushroom’.
Langkah itu diambil susulan peningkatan kes kemalangan yang dipercayai membabitkan pemandu yang khayal selepas mengambil dadah sintetik tersebut, termasuk dicampurkan dalam cecair rokok elektronik atau vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata keadaan tersebut amat membimbangkan kerana terdapat pemandu yang menghisap vape mengandungi dadah sintetik tanpa menyedari ia boleh menyebabkan khayal secara beransur-ansur ketika memandu, lapor Berita Harian.
Beliau berkata ‘piu piu’ atau ‘magic mushroom’ bukan nama jenis dadah, tetapi satu terma untuk pasaran dan promosi dadah jenis cecair sintetik yang dimasukkan dalam peranti vape.
"Di negara kita berlaku kemalangan dipercayai berpunca daripada mereka yang menghisap dadah cecair sintetik dalam vape ini.
"Dadah sintetik menggunakan nama komersial ‘piu piu’ dan ‘magic mushroom’ ini mudah diperoleh sama ada dibeli secara dalam talian, di pusat hiburan atau dalam kalangan mereka yang menggunakan dadah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Hussein mendedahkan, selain pengguna jalan raya, dadah berkenaan juga turut dikesan digunakan pelajar sekolah menengah.
Untuk rekod, setakat 10 Jun lalu, 168 kes dikesan dengan 267 tangkapan dilakukan atas kesalahan penggunaan cecair dadah sintetik oleh JSJN, iaitu meningkat ketara berbanding 108 kes dengan 138 tangkapan di seluruh negara atas kesalahan sama pada sepanjang tahun lalu.
Hussein berkata, jika perkara ini tidak dikawal segera, pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan jalan raya akibat pengambilan dadah itu semakin meningkat, sekali gus menyebabkan lebih banyak nyawa terancam terutama pengguna jalan raya lain.
"Justeru, kami memohon dan menggesa kerajaan lebih serius mengharamkan penggunaan vape, sekali gus memudahkan pihak berkuasa termasuk polis mengawal penyalahgunaan dadah ini.
"JSJN juga memohon pertimbangan kerajaan meluluskan peruntukan pembelian kit ujian air liur itu untuk digunakan dalam SJR menjelang hujung tahun ini.
"PDRM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam mengatasi masalah ini," katanya.




