Polis Berkas Lelaki Pukul Ibu Guna ‘Safety Boot’ Sehingga Maut

Entertainment
29 Feb 2024 • 11:05 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ketika di bawah pengaruh dadah, seseorang itu sudah pastinya tidak dapat berfikir dengan waras, mereka boleh melakukan tindakan yang luar biasa yang boleh ‘memakan’ diri mereka.

Terbaru, seorang wanita 56 tahun menjadi mangsa bunuh selepas dipukul oleh anak kandungnya, suspek dikatakan telah memukul wanita tersebut dengan sepasang safety boot serta tukul besi sebelum melarikan diri. Kes tersebut berlaku di Klang, Selangor.

image is not available

Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berbuat demikian kerana berang ibunya membuang barangan miliknya. Pun begitu, suspek difahamkan telah berjaya diberkas pihak polis pada hari yang sama.

“Bertindak di atas maklumat, tangkapan dibuat ke atas suspek pada 28 Febuari 2024 jam 11.30 pagi di Taman Sentosa Klang.

Suspek merupakan seorang lelaki berumur 33 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis meth,” katanya.

Difahamkan, suspek akan direman esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 9 pagi dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun serta hukuman tidak kurang daripada 12 sebatan.

Sumber: Buletin TV3

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.