Polis Bongkar Premis E-Sisa Haram

LocalEnvironment
8 Jul 2026 • 2:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Bongkar Premis E-Sisa Haram

KUALA LUMPUR - Polis berjaya membongkar sebuah premis yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) secara haram bernilai jutaan ringgit menerusi Op Hazard di Lorong Pengkalan Indah, Bukit Tengah, dekat Bukit Mertajam, kira-kira jam 11.55 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Norazizi Saad berkata, premis itu dikesan hasil serbuan bersepadu bersama beberapa agensi, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh JAS menemui kira-kira 80 blok e-sisa yang telah dimampatkan serta lapan beg jumbo mengandungi komponen komputer dan papan induk (motherboard).

“Beberapa sampel bahan turut diambil untuk dianalisis dan disahkan di bawah kod sisa terjadual. Kes disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MBSP turut mengeluarkan dua kompaun terhadap pemilik premis kerana menjalankan aktiviti penyimpanan tanpa lesen yang sah.

Dalam operasi sama, polis turut menahan 11 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati 10 daripada mereka disyaki melanggar syarat pas imigresen, manakala seorang lagi dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka direman selama 14 hari bermula semalam hingga 20 Julai bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - Getaran, 8 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved