Polis buka kertas siasatan pekerja restoran aniaya kucing

4 Jun 2026 • 8:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis buka kertas siasatan pekerja restoran aniaya kucing
Tangkap layar video tular memaparkan pekerja restoran berkenaan bertindak memasukkan seekor kucing ke dalam guni.

IPOH - Polis membuka kertas siasatan kes membabitkan seorang lelaki melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing di sebuah restoran di Taman Melor dekat Teluk Intan, seperti yang tular menerusi media sosial, baru-baru ini.

Rakaman berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan lelaki terbabit dipercayai pekerja restoran berkenaan bertindak memasukkan seekor kucing ke dalam guni.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, susulan penularan video tersebut, pihaknya telah menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti individu yang terlibat, lokasi sebenar kejadian serta mendapatkan fakta lengkap berhubung kejadian itu.

"Pihak polis juga telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik premis makanan berkenaan berhubung video tular tersebut. 

"Berdasarkan laporan yang diterima, pekerja premis itu dipercayai merupakan individu yang telah memasukkan kucing berkenaan ke dalam guni seperti yang dipaparkan dalam video tular," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kok Lian berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana dipercayai melakukan penganiayaan terhadap binatang.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi berkaitan bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Masyarakat juga diseru supaya sentiasa mengamalkan sikap prihatin terhadap kebajikan haiwan serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kejadian penganiayaan atau pengabaian haiwan.

"Polis memandang serius sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan dan tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut," katanya. - Bernama