Polis buka siasatan video TikTok Zamri Vinoth

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azizee

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang menyiasat satu paparan video siaran langsung di media sosial TikTok yang didakwa memaparkan kenyataan berunsur ugutan, provokasi dan perkauman oleh pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan dijalankan susulan satu laporan polis dibuat pada 8 Mac lalu berhubung video siaran langsung berkenaan yang tular di media sosial.

Menurutnya, dalam video tersebut, individu terbabit didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan, provokasi, bersifat menghina serta mengandungi unsur perkauman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizee berkata, polis turut menahan empat lelaki tempatan di sekitar Bukit Mertajam kira-kira jam 2.30 pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan dipandu Zamri.

Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku di tepi jalan Taman Aston Acacia, Bukit Mertajam pada 7 Mac lalu.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 29 hingga 31 tahun dan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan dalam kes ini seramai enam orang.

“Polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, namun ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati mereka negatif dadah.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek telah direman selama dua hari sehingga 11 Mac oleh Majistret Mahkamah Bukit Mertajam bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Azizee memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau menyebarkan maklumat tidak sahih, berunsur provokatif atau membuat spekulasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum dan golongan masyarakat.

“Polis memandang serius perkara ini kerana penyebaran kenyataan tidak benar berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk serta menggugat ketenteraman awam.

“Polis sentiasa memantau rapi perkembangan keadaan ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan undang-undang,” katanya.