Satu kejadian samun bersenjata dilaporkan berlaku di sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sekinchan melibatkan tiga lelaki tempatan yang bersenjatakan parang sekitar jam 9.35 pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof bin Ahmad, pihak polis menerima laporan daripada seorang guru wanita yang merupakan tenaga pengajar di taska berkenaan. Beliau memaklumkan bahawa ketiga-tiga suspek telah memasuki premis tersebut dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza, sebelum melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit.
“Salah seorang suspek turut menampar seorang guru wanita di taska tersebut,” jelasnya.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pihak pengurusan taska sedang menunggu ketibaan pelajar sebelum ketiga-tiga suspek bersenjatakan parang telah melarikan barang-barang berharga.
“Ketika kejadian, terdapat dua orang guru taska perempuan, seorang pembantu perempuan di dapur, serta sepuluh orang kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun. Tiada kanak-kanak yang cedera dalam kejadian tersebut,” tambah beliau.
Kejadian ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda, dan juga sebat.
Pihak polis kini giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menahan suspek yang terlibat. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp. Nor Aimi Liyana binti Mohd Khairani di talian 018-2510452.
The post Polis buru 3 suspek samun berparang di taska Sekinchan appeared first on The Reporter.



