Polis buru dua suspek samun penunggang motosikal

LocalPolitics
21 Nov 2024 • 5:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Video rakaman yang memaparkan kes samun penunggang motosikal di Jalan Kangar 87, Batu 2 1/4, di sini, pada Ahad.

KLANG - Polis sedang mengesan dua lelaki warga tempatan yang menunggang sebuah motosikal disyaki terlibat dalam kes samun beg silang seorang wanita di Jalan Kangar 87, Batu 2 1/4, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

"Kedua-dua lelaki itu menaiki motosikal datang dari arah sebelah kanan mangsa dan salah seorang suspek telah memotong beg silang pengadu menggunakan pisau, sebelum melarikan diri ke arah Jalan Bomba, di sini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki suspek tidak mempunyai nombor pendaftaran di bahagian belakang.

"Siasatan lanjut mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian itu dan kita kini berusaha mengesan suspek," katanya.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau balai polis berhampiran," ujarnya.